Datuk Bandar puji integriti ‘Wira Oren’ harumkan nama MBSP

Admin
KESEMUA ‘Wira Oren’ yang terlibat mengharumkan nama baik MBSP pada pagi tadi turut merakamkan gambar kenang-kenangan dengan barisan pentadbir serta pengurusan tertinggi PBT di Menara Bandaraya.

SEBERANG JAYA – Sifat amanah dan integriti sembilan kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memulangkan barang kemas yang mereka temukan dalam longgokan sampah di Depoh Pembersihan Tasek Gelugor, kepada pemiliknya, menjadi kebanggaan seluruh organisasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad menyampaikan mesej itu semasa berucap dalam Perhimpunan Korporat Bandaraya yang berlangsung secara hibrid dari Dewan Kenanga, Menara Bandaraya di sini pada 15 Mac 2022.

“Barang kemas tersebut dijumpai semula dalam longgokan sampah seberat empat tan dalam tempoh dua jam carian.

“Syabas dan tahniah daripada hati saya atas usaha-usaha murni yang ditunjukkan oleh ‘Wira Oren’ (iaitu kakitangan di bawah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran) MBSP.

“Saya berharap lebih ramai warga MBSP – tidak hanya ‘Wira Oren’ kita – bahkan, semua kakitangan lain menunjukkan sikap (integriti dan empeti) seperti ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sifat integriti dan empeti yang ditunjukkan oleh kakitangan MBSP akan terus dihargai oleh para pelanggan PBT tersebut, sekali gus meningkatkan imej organisasi penting di bawah Kerajaan Negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Azhar turut menasihatkan sekalian kakitangan MBSP supaya terus menjauhi amalan rasuah serta penyelewengan kuasa.

“MBSP amat memberi perhatian serius terhadap masalah integriti dan etika dalam kalangan warga kerja MBSP tanpa mengira barisan pembuat dasar, pentadbiran dan pengurusan tertinggi mahupun peringkat pelaksana.

“Justeru, MBSP amat komited dalam usaha meningkatkan integriti, membanteras rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan pecah amanah dalam kalangan kakitangan; seterusnya menyasarkan untuk menjadi PBT yang berintegriti, telus dan sifar rasuah,” jelasnya.

Serentak pada majlis sama, Azhar diiringi barisan Ahli Majlis serta Ketua-Ketua Jabatan tersebut turut menyampaikan sijil penghargaan kepada kesemua ‘Wira Oren’ yang mengharumkan nama MBSP baru-baru ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS