Dialog & partisipasi sumbang perubahan positif PPR Jln. Sungai

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

SUNGAI PINANG – Penduduk di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai dekat sini membuktikan bahawa proses dialog dan partisipasi sebagai rakan kongsi dalam Kontrak Komuniti Program Pembersihan di bawah Projek Perintis Bajet Responsif Gender dan Partisipatori (GRPB) menyumbang kepada perubahan positif yang lebih lestari.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kejayaan Projek Perintis GRPB melibatkan Kerajaan Negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menjadi perintis dan model pembangunan masyarakat yang wajar diikuti komuniti lain di Pulau Pinang.

“Dahulunya, flat ini amat kotor dan tidak terurus, tetapi kita lihat pada hari ini, hasil kepercayaan dan tanggungjawab diberikan kepada penduduk yang bertindak sebagai rakan kongsi untuk menjaga serta menguruskan kebersihan di flat ini menghasilkan transformasi yang positif.

“Tahniah dan syabas untuk penduduk Flat PPR Jalan Sungai khususnya Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti PPR Jalan Sungai atas semangat dan kerjasama yang ditonjolkan.

Ternyata flat ini sungguh berbeza jika dibandingkan setahun yang lalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kontrak Komuniti Program Pembersihan dan Projek Mengecat Semula PPR Jalan Sungai serta Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dataran PPR Jalan Sungai di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PWDC, Chong Eng, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

Turut serta, Yang di-Pertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PWDC dan Pengarah Projek Perintis GRPB, Aloyah Bakar dan Pengerusi Pertubuhan Komuniti PPR Jalan Sungai, Shahrudin Mohd. Sharif.

Selain itu, dalam ucapan perasmiannya, Guan Eng turut memuji pendekatan dijalankan MPPP selaku penyedia perkhidmatan dan kagum dengan kerja gigih PWDC sepanjang pelaksanaan projek tersebut bermula 2012 sehingga ke hari ini.

“Sepanjang proses pelaksanaan, saya percaya, ia telah melatih dan memperkasakan komuniti di sini terutama dalam hal berkaitan kerajaan tempatan dan pembangunan negeri.

“Kerajaan tempatan juga lebih responsif terhadap keperluan berbeza dalam kalangan komuniti lantas mampu bertindak dengan lebih efektif mengikut ketetapan bajet yang relevan dengan keperluan rakyat,” tambah Guan Eng yang sempat meluangkan masa melawat kawasan sekitar flat berkenaan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2,315,025 bagi melaksanakan Projek Perintis GRPB terbabit dari 2012 sehingga 2014. Peruntukan tersebut mencakupi kos pembersihan berjumlah RM278,462, kos penyelenggaraan lif bulanan (RM113,400), pembaikan lif (RM108,752), kerja-kerja pembaikan bangunan (RM741,011), kerja-kerja mengecat semula (RM700,000), kos kelengkapan sistem pencegahan kebakaran (RM123,400) dan RM250,000 bagi projek dan program bersama penduduk melalui Projek Perintis GRPB.

Dengan slogan ‘Kelompok Berlainan, Keperluan Berbeza”, Projek Perintis GRPB terbabit turut mengambil kira keperluan penduduk dan hal itu termasuk mengecat semula dua blok bangunan 22 tingkat di sini.

Dalam pada itu, Patahiyah ketika berucap memberitahu, Kontrak Komuniti Program Pembersihan dilaksanakan di Flat PPR Jalan Sungai adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia melibatkan kerajaan tempatan dan komuniti setempat.

“Model kontrak komuniti sebegini belum pernah dilaksanakan dan Pulau Pinang mengorak langkah melaksanakannya dan ianya berjaya. Malah melalui kontrak komuniti ini juga, ia telah membuka peluang pekerjaan kepada tujuh penghuni di sini untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Kini, kerja-kerja pembersihan tidak lagi melalui kontraktor yang dilantik sebaliknya diuruskan oleh penghuni di sini,”ujar beliau.

Manakala, Siew Khim ketika ditemui berharap dengan transformasi fizikal bangunan dan pentadbiran, Flat PPR Jalan Sungai dapat menjadi teladan buat komuniti lain dalam mengurus tadbir kediaman masing-masing.

“Hubungan dua hala yang dijalinkan antara penduduk dan kerajaan tempatan telah membolehkan penduduk di sini menikmati keselesaan dan keharmonian persekitaran,” katanya.

Flat PPR Jalan Sungai yang terletak di Sungai Pinang mempunyai kepadatan penduduk tinggi mencecah sehingga 2,000 penghuni.