Dua NGO Pulau Pinang hantar kontena bantuan pasca banjir ke Pahang

Admin
ACARA pelepasan lori kontena yang membawa bantuan bencana ke negeri Pahang tadi.

PERAI – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy bersama-sama Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh pada pagi ini menyempurnakan acara pelepasan lori kontena 40 kaki yang berisi pelbagai barang kelengkapan asas ke kawasan bencana banjir di dua lokasi Bentong dan Karak dekat negeri Pahang.

P. Ramasamy

Bercakap kepada pemberita, Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai memberitahu bahawa misi bantuan pasca bencana kali ini dikendalikan oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Peniaga Taman Chai Leng dan Tamilar Kural Malaysia.

“Ini merupakan misi pertama yang disertai oleh kedua-dua pertubuhan; kita akan menghantar 1,000 bantal dan tilam serta 60 unit dapur gas.

“Kontena pertama ini akan membawa 600 unit batal dan tilam, baki 400 unit lagi akan dihantar dalam kontena kedua pada Rabu depan (5 Januari 2022).

“Misi ini merupakan usahasama Persatuan Peniaga Taman Chai Leng dan Tamilar Kural Malaysia yang berjaya mengutip derma sebanyak RM46,000 bagi menjayakan misi pasca bencana banjir di negeri Pahang,” jelasnya di perkarangan Dewan Serbaguna Taman Chai Leng pada 1 Januari 2022.

P. David Marshel sedang menyusun baki barang bantuan bencana pasca banjir yang akan dibawa ke negeri Pahang.

Di samping itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshel yang turut menyertai misi menghantar bantuan tersebut ke Pahang.

PHEE Boon Poh

Sementara itu, Boon Poh pula merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana segera menggerakkan aset dan sumber tenaga agensi-agensi berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MBSP bagi kerja-kerja pemulihan pasca bencana banjir di Negeri Pahang dan Selangor sejak dua minggu lepas.

“Telah ada begitu banyak pasukan bantuan dan aset digerakkan dari Pulau Pinang yang melibatkan kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi-agensi berkaitan, Pusat-Pusat Khidmat ADUN dan tidak dilupakan galakan untuk NGO untuk menyertai misi bantuan pasca bencana ini.

“Semua ini boleh dilakukan kerana adanya galakan daripada Y.A.B. Ketua Menteri sendiri,” jelasnya yang juga ADUN Sungai Puyu.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Boon Poh berkata pihaknya turut membuat persiapan berkaitan termasuk di Pusat-Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir di negeri ini.

“Persiapan seperti PPS, kami (Kerajaan Negeri) kena sediakan… begitu juga makanan jika berlaku kemungkinan banjir,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ramasamy memberitahu Kerajaan Negeri melalui Lembaga Wakaf Hindu akan perbincangan dengan pihak berwajib peringkat Persekutuan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Thaipusam di negeri ini.

“Mungkin acara yang biasa diadakan sebelum ini seperti perarakan kavadi tidak diadakan sempena Thaipusam pada tahun ini disebabkan SOP.

“Tetapi, perarakan pedati akan tetap diadakan mungkin di beberapa tempat, tidak boleh berhenti di semua tempat.”

“Pada minggu depan, kita akan buat pengumuman bagaimana SOP perayaan Thaipusam di negeri Pulau selaras dengan SOP yang ditetapkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan pihak polis,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD