Dua unit lif Pangsapuri Widuri Blok D dibaik pulih, penduduk tarik nafas lega

Admin

BUTTERWORTH – Penduduk Pangsapuri Widuri Blok D, di sini menarik nafas lega apabila dua unit lif yang rosak sejak sekian lama telah siap dibaik pulih melalui bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee.

“Pada April 2019, pihak pengurusan Pangsapuri Widuri Blok D telah membuat permohonan melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Pulau Pinang (TPM80PP) untuk menaik taraf lif-lif tersebut yang menggugat keselamatan penduduk setempat.

“Justeru, permohonan tersebut telah diluluskan dan kerja penaiktarafan dua unit lif itu diberikan kepada kontraktor iaitu Syarikat Hi-Rise Industrial & General Handling Sdn. Bhd dengan amaun keseluruhan sebanyak RM224,560.

“Untuk makluman, projek lif pertama telah siap pada 24 Jun 2019 dan diserahkan pada 12 Julai 2019 manakala lif kedua disiapkan pada 21 Ogos 2019,” katanya semasa sidang media dekat pangsapuri berkenaan pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi Pangsapuri Widuri Blok D, Lim Teik Chai dan kontraktor Syarikat Hi-Rise Industrial & General Handling Sdn. Bhd., Sim Choo Keat.

Mengulas lanjut, Lip Chee memberitahu bahawa penggunaan lif adalah penting bagi penduduk yang mendiami rumah bertingkat terutamanya kepada kanak-kanak dan warga emas.

“Kerjasama semua pihak adalah penting supaya lif-lif ini bebas daripada gejala vandalisme seperti menconteng dan merosakkan butang-butang berkaitan di dalam lif itu.

“Oleh itu, saya minta para penduduk pangsapuri ini termasuk warga negeri supaya menghargai semua kemudahan yang diberikan, jagalah harta awam agar lebih baik, jangan ada vandalisme,” seru beliau yang juga Exco Belia dan Sukan.

Kedua-dua lif tersebut mempunyai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) demi menjaga keselamatan penduduk pangsapuri itu.

Teks & Gambar : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN