DUN Pulau Pinang namakan Lim Hui Ying, Yusmadi Yusoff sebagai Ahli Dewan Negara baru

GEORGE TOWN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sebulat suara bersetuju dengan usul penamaan Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Lim Hui Ying dan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff sebagai Ahli Dewan Negara, yang bakal membawa gelaran ‘Senator’.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri yang mengemukakan usul pemilihan Ahli Dewan Negara, lalu disokong Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin.

Menurut Kon Yeow, Hui Ying merupakan ahli biasa DAP pada tahun 1999, pernah diberi kepercayaan oleh pemimpin parti, termasuk menjawat jawatan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Penolong Setiausaha dan Pengarah Kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan PRU14.

Yusmadi pula, menurutnya, adalah pengamal undang-undang bertauliah dan merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tambah beliau, Hui Ying dan Yusmadi bakal menggantikan dua Ahli Dewan Negara yang telah taman tempoh perkhidmatan pada 1 Jun 2018, iaitu Siti Aishah Shaik Ismail (PKR) dan Dr. Ariffin S. M. Omar (DAP).

Pada 4.15 petang tadi, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang mengumumkan persidangan dewan ditangguhkan sehingga satu tarikh akan diumumkan kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALVIE CHENG