E-Invois bantu PMKS simpan rekod, dokumen secara sistematik

Admin
img 4087

SUNGAI PINANG – Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan nilai ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois daripada jualan tahunan di bawah RM150,000 kepada di bawah RM500,000.

 


Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pengecualian ini memberi manfaat kepada sebahagian besar peniaga mikro dan kecil agar mereka tidak terbeban dengan kos kewangan atau keperluan kemahiran teknikal bagi melaksanakan e-Invois.

 

“Walaupun pengecualian ini diberikan, kerajaan tetap menggalakkan penglibatan peniaga mikro dan kecil dalam inisiatif e-Invois selaras dengan aspirasi pendigitalan perniagaan.

 

“Kerajaan juga memberikan kelonggaran selama enam bulan selepas tarikh pelaksanaan mandatori untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan bagi semua transaksi.

 

“Langkah ini bertujuan memberi fleksibiliti kepada perniagaan dalam menyesuaikan diri dengan pelaksanaan e-Invois dan sepanjang tempoh kelonggaran tersebut, kerajaan menggalakkan perniagaan menambah baik proses operasi serta sistem bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

 

“Tiada penalti atau denda akan dikenakan sepanjang tempoh ini sekiranya pembayar cukai sekurang-kurangnya mengeluarkan e-Invois yang disatukan bagi tujuan pelaksanaan,” katanya ketika merasmikan Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di Menara HASiL, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dekat sini, pagi tadi.

img 4107

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.

 

Mengulas lanjut, Amir Hamzah memaklumkan bahawa pelaksanaan e-Invois pada asasnya memberi tumpuan pada peningkatan kecekapan operasi melalui pendigitalan ekosistem perniagaan, selain memperkukuh integriti dokumentasi dan rekod perniagaan.

 

“Sebelum pelaksanaan e-Invois, pembayar cukai khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sering berdepan risiko pemalsuan rekod, kehilangan dokumentasi perniagaan serta ketidakupayaan menyimpan dokumen secara sistematik.

 

“Keadaan ini memberi kesan langsung terhadap pelaporan dan pematuhan cukai. Malah, kelemahan dalam pengurusan rekod perniagaan sering menjadi punca kegagalan memperoleh pinjaman kewangan untuk berkembang, selain terlepas peluang menerima bantuan serta inisiatif kerajaan,” jelas beliau.

 

Difahamkan, selepas setahun dilaksanakan, e-Invois kini berada pada fasa ketiga yang melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan RM5 juta hingga RM25 juta, bermula 1 Julai 2025.

 

Secara keseluruhannya, jelas Amir Hamzah, lebih 102,800 pembayar cukai telah menggunakan e-Invois dengan jumlah pengeluaran melebihi 563 juta dokumen digital itu.

 

“Sambutan yang diterima amat positif, malah terdapat pembayar cukai yang melaksanakan e-Invois secara sukarela lebih awal daripada garis masa mandatori,” katanya.

img 4111

Dalam perkembangan lain, Amir memaklumkan bahawa kerajaan bersama pengusaha stesen minyak sudah bersedia bagi pelaksanaan subsidi minyak melalui mekanisme baharu.

 

Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku kesulitan pada peringkat awal, namun kerajaan bersedia menghadapinya.

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD