Enam kumpulan sasaran terima manfaat Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.1 berjumlah RM4.5 juta

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini meluluskan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.1 berjumlah RM4.5 juta bagi mengaktifkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Pengumuman peruntukan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan pakej bantuan kepada golongan terkesan ekoran penularan wabak pandemik setakat ini adalah berjumlah RM155.5 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pakej bantuan ketiga berkaitan adalah memfokuskan enam kumpulan sasaran bagi melancarkan kembali aliran tunai serta mengurangkan kos operasi dalam tempoh pemulihan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pakej bantuan ini bermatlamat memberikan bantuan segera kepada golongan paling terkesan selain membolehkan kelangsungan perniagaan bagi memastikan ekonomi negeri terus dibangunkan pada pasca PKP.

Enam lagi kumpulan sasaran yang paling terkesan menerima insentif melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.1 berjumlah RM4.5 juta.

“Selain itu, ia juga adalah untuk mengupayakan golongan pekerja supaya dapat berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri dekat Komtar sebentar tadi.

Kon Yeow memberitahu bahawa antara yang diberikan melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.1 adalah insentif input pertanian bernilai RM400 kepada 1,142 petani berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian negeri akan mengagihkan input pertanian kepada petani seperti baja organik diperkaya atau benih tanaman untuk mengusahakan tanaman sayur, buah tidak bermusim, kontan serta tanaman industri yang secara langsung terjejas akibat penularan COVID-19,” ulasnya.

Selain itu, menurut beliau, bantuan khas kewangan bernilai RM500 one-off juga akan diberikan kepada 439 pengusaha kantin sekolah bagi semua kategori sekolah yang berdaftar di negeri ini.

“Syarikat penganjur acara (event management) di negeri ini juga akan diberikan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 secara one-off yang dianggarkan bakal memanfaatkan seramai 100 pengusaha terlibat.

“Bantuan kali ini juga turut disalurkan kepada 1,771 Pertubuhan Rumah Ibadat Bukan Islam berdaftar yang mana masing-masing bakal menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM1,000,” jelasnya.

Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga memberikan bantuan khas kewangan bernilai RM500 one-off kepada 3,996 pertubuhan atau persatuan yang aktif dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di negeri ini.

“Sebagai tambahan, bantuan khas kewangan RM500 one-off juga akan diberikan kepada 150 pengusaha penjual akhbar dan buku di negeri ini.

“Semua permohonan bagi pakej bantuan kewangan ini adalah melalui portal rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, www.penang.gov.my yang boleh dibuat mulai Jumaat ini iaitu 28 Ogos 2020 dan bantuan akan disalurkan dengan kadar segera selepas permohonan diterima.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar bantuan ini dapat sedikit-sebanyak membantu golongan yang terkesan dapat meneruskan aktiviti-aktiviti mereka,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : CHAN KOK KUAN