Enam syarikat korporat serah RM1.23 juta zakat perniagaan

Admin

SEBERANG JAYA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman petang tadi mewakili Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima RM1.23 juta (RM1,227,295.44) zakat perniagaan daripada lima badan korporat dan satu pertubuhan koperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali turut menyaksikan acara melafazkan bayaran zakat korporat oleh wakil Maybank Islamic Berhad; Etiqa Family & General Takaful Berhad; QSR Brands; Bank Muamalat Malaysia Berhad; Rural Capital Berhad dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) tersebut.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ketika berucap, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkenaan kerana melunaskan kewajipan sosial korporat yang begitu diperlukan oleh umat Islam di Pulau Pinang.

“Zakat perniagaan merupakan zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam untuk mengeluarkan hasil yang dapat daripada perniagaan yang dilakukan, dalam apa bentuk perniagaan sekalipun (seperti) perkhidmatan, pertanian, perbekalan, perkapalan, perikanan, pelombongan, pembuatan dan sebagainya.

“Majlis hi-tea bersama-sama agensi korporat ini merupakan program tahunan yang dijalankan oleh Jabatan Operasi Kutipan Zakat, ZPP… merupakan salah satu kaedah penyampaian dakwah zakat kepada agensi-agensi korporat ini agar mereka meneruskan kewajipan pembayaran zakat kepada ZPP,” jelasnya pada Majlis Hi-Tea Dan Serahan Zakat Korporat di Hotel Ixora, Seberang Jaya pada 27 Ogos 2020.

Selain itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat memberitahu bahawa ZPP sejak bulan Mac lepas telah menyalurkan Bantuan Khas COVID-19 berjumlah RM15.1 juta untuk membantu pelbagai kelompok umat Islam yang terjejas teruk dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

AMRAN Hazali (paling kanan) mengiringi Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tengah) menerima RM600,000 zakat korporat daripada wakil Maybank Islamic Berhad, Zolkefli Awang dalam majlis yang berlangsung di Ixora Hotel, Seberang Jaya di sini pada petang ini.

Sementara itu, Amran memberitahu bahawa dengan menunaikan kewajipan membayar zakat perniagaan, badan-badan korporat berwajib turut berpeluang menjana imej serta wibawa pertubuhan mereka kepada para pelanggan terutama dalam kalangan umat Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Amran memberitahu bahawa pandemik COVID-19 baru-baru ini bukan sahaja menjejaskan aktiviti perniagaan yang melibatkan hampir semua sektor ekonomi, bahkan turut menyusutkan hasil kutipan zakat fitrah dan zakat perniagaan yang dilakukan oleh ZPP pada tahun ini.

Justeru, beliau berharap MAINPP dapat menyemak semula sasaran kutipan zakat bagi sepanjang tahun 2020 yang diunjurkan sebelum ini, memandangkan pandemik COVID-19 adalah di luar jangkaan semua pihak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD