BUKIT TAMBUN – Kemasukan murid Tahun Satu di Pulau Pinang dijangka meningkat kepada 22,000 orang bagi sesi persekolahan 2027 yang bermula pada 4 Januari depan, berbanding kira-kira 17,000 murid sebelum ini.
Peningkatan tersebut turut melibatkan kemasukan kira-kira 3,700 kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu, selaras dengan pelaksanaan dasar kemasukan awal secara sukarela serta Kurikulum Persekolahan 2027.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) telah melaksanakan pelbagai persediaan bagi memastikan kelancaran pembukaan sesi persekolahan 2027, termasuk membentangkan tahap kesiapsiagaan prasarana kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 23 November ini.
“Persediaan merangkumi pembinaan bilik darjah menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf bilik darjah sedia ada, serta penyuraian murid.
“Alhamdulillah, di Pulau Pinang, hanya sebuah sekolah dijangka beroperasi secara dua sesi berikutan pertambahan murid, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Minden Heights.
“Sesi libat urus bersama waris juga telah dilaksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pengusaha Tadika Swasta dan Guru Cemerlang Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 bertemakan Inspirasi, Dedikasi, Kecemerlangan di Bizmilla, di sini, pada 14 November.
Dalam pada itu, Mohamad Dziauddin merakamkan penghargaan kepada pengusaha dan guru tadika swasta di negeri ini atas komitmen menjalin kerjasama erat dengan JPNPP dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), khususnya dalam mendepani pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah.
Menurut beliau, institusi pendidikan awal kanak-kanak, sama ada tadika swasta, prasekolah kerajaan, KEMAS mahupun Tabika Perpaduan, memainkan peranan penting sebagai asas pendidikan dalam memastikan kanak-kanak menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum melangkah ke alam persekolahan formal.
Mengulas pembangunan infrastruktur pendidikan di Seberang Perai Selatan, beliau memaklumkan bahawa proses pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) oleh JKR kepada kontraktor bagi pembinaan baharu Kolej Tingkatan Enam Seri Permatang di Permatang Keling, berhampiran Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh, dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat.
Selain itu, beliau turut berkongsi inisiatif kebajikan dan pendidikan KPM bagi 2027, termasuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 bagi setiap murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, serta elaun sara hidup berjumlah RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Dziauddin mengingatkan warga pendidik supaya sentiasa memelihara profesionalisme dengan mengamalkan komunikasi berhemah serta mengelakkan sebarang bentuk sentuhan fizikal yang kasar atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama ketika mendidik murid.
Tegasnya, nilai perpaduan, patriotisme dan sikap saling menghormati dalam masyarakat majmuk perlu disemai sejak peringkat prasekolah bagi melahirkan generasi masa hadapan yang harmoni dan cintakan negara.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS