Exco harap Pulau Pinang hanya tempuhi PKP bersasar sempena Aidilfitri

Admin

GEORGE TOWN – Putrajaya disyor melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar mengikut kawasan yang dikenal pasti berisiko sahaja, berdasarkan rumusan serta pelaporan penilaian risiko yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

JAGDEEP Singh Deo

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa syor itu merupakan keputusan mesyuarat Exco semalam, yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

“Ekonomi akan kembali terjejas jika PKP dilaksanakan secara menyeluruh di negeri ini, sebab itu perlu hati-hati sebelum diisytiharkan PKP di seluruh negeri ini.

“Perlu ada keseimbangan di antara menjaga keselamatan awam dan memastikan aktiviti ekonomi boleh berjalan seperti biasa dalam SOP (prosedur operasi standard), PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) umpamanya menjelang musim perayaan (Aidilfitri).

“Kita masih dalam PKPB, kita harap Kementerian akan mengambil segala data yang ada untuk membuat pertimbangan membuat pendekatan bersasar, bukan melaksanakan keseluruhan PKP di seluruh negeri ini,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di Ibu Pejabat Kontigen (IPK) Polis Pulau Pinang di sini pada 6 Mei 2021.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dilaporkan memutuskan bahawa Pulau Pinang masih dalam PKPB, sementara Putrajaya belum memutuskan jenis PKP yang akan dilaksanakan sempena musim perayaan Aidilfitri ini.

Kes harian baru positif COVID-19 pada 4 Mei di Pulau Pinang pula direkodkan sebanyak 167 kes, lapor laman rasmi Fecebook JKNPP.

Walaupun kes harian positif COVID-19 belakangan ini masih belum menunjukkan penurunan secara ketara, Jagdeep berkata bahawa MKN perlu juga melihat kepada tahap pematuhan SOP di negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya sebelum menentukan jenis PKP yang bakal diumumkan kelak.

Menurutnya, hasil 1.84 juta pemeriksaan ke atas premis pelbagai jenis yang dilakukan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 3 Mei 2021 menyaksikan tahap pematuhan SOP adalah pada angka begitu tinggi iaitu 99.37 peratus.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan memberitahu bahawa sempena musim perayaan Aidilfitri nanti, sejumlah 105 pasukan pemantauan akan ditempatkan di pos Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negeri ini.

“Sempena hari raya (Aidilfitri) ini, langkah pemantauan lebih ketat lagi, walaupun bukan dari rumah ke rumah, saya berharap semua pihak bersabar,” jelasnya lagi sambil memberitahu cuti raya semua anggota dibekukan.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, 86 peratus daripada kira-kira 6,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini telahpun menerima dos pertama vaksin.

Manakala, Pengarah Penjara Negeri Pulau Pinang, Roslan Mohamed pula memberitahu 100 peratus anggota jabatan berkenaan telahpun menerima dos pertama vaksin.

Pada majlis sama, Jagdeep turut menyampaikan sejumlah sumbangan dalam bentuk pek bekalan makanan kepada anggota barisan utama sempena menyambut hari lebaran.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN