FAP cemerlang – RM1 juta naikkan lagi semangat pemain

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menyumbangkan RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berikutan kejayaan pasukan berkenaan menduduki tempat kedua pusingan pertama saingan Liga Perdana 2014 baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang menyempurnakan majlis penyampaian tersebut menyatakan bahawa sumbangan terbabit merupakan suatu suntikan bagi menaikkan lagi semangat pemain-pemain bagi mengharungi pusingan kedua serta saguhati atas kecemerlangan masing-masing.

“Saya percaya bonus seperti ini merupakan satu ‘peluru’ yang paling mujarab dalam menewaskan lawan dan pesaing-pesaing kita dalam Liga Perdana ini.

“Walaupun saingan dilihat sukar, jika tidak menjuarai liga ini sekalipun, saya menaruh harapan supaya pasukan Pulau Pinang mampu melonjak ke saingan Liga Super (saingan tertinggi bola sepak) pada musim 2015 kelak,” ujarnya pada sidang media khas di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar, Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Munshir Ariff, Jurulatih FAP, K. Devan dan barisan pemain FAP.

Bagi rekod saingan pusingan pertama, Pulau Pinang melalui 11 perlawanan dengan lapan kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Lanjutan itu, Guan Eng turut mengingatkan para pemain supaya mengekalkan fokus dalam menghadapi perlawanan memandangkan urusan kewangan serta kebajikan tahun ini telah diurus tadbir dengan baik sekali berbanding tahun-tahun kebelakangan.

“Sumbangan seperti ini juga turut diharap dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak Pulau Pinang, di mana kini, fenomena kepadatan stadium dapat disaksikan dengan ribuan penyokong daripada pelbagai latar belakang datang memberi sokongan kepada pasukan yang mendapat jolokan ‘Harimau Kumbang tersebut,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Nazir Ariff mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan PDC kerana sudi menyumbangkan saguhati apabila pasukan Pulau Pinang dilihat seperti mampu mengotakan janji bagi  menghuni tangga keempat sekurang-kurangnya pada saingan musim ini.

“Pusingan kedua bakal bermula dan bagi menguatkan pasukan, kita (FAP) akan melakukan sedikit rombakan  pada barisan pemain import serta tempatan bagi mencapai sasaran dan selebihnya saya hanya minta para pemain fokus ke hadapan,” tambah beliau.