Fasa 2 Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang: Kekal amal penjarakan sosial dan kebersihan diri, nasihat KM

Admin

PADANG KOTA – Rakyat Pulau Pinang dinasihatkan supaya kekal mengamalkan penjarakan sosial meskipun Fasa Pembiasaan (Fasa 2), Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang bermula esok.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa selain penjarakan sosial satu meter, kebersihan diri yang optimum juga perlu dijadikan amalan bagi menangani perebakan wabak COVID-19.

“Esok, 8 haribulan (Mei) adalah Fasa Pembiasaan yang mana kebanyakan sektor dijadualkan dibenarkan beroperasi semula.

Sejak dari awal lagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bahawa amalan penjarakan sosial dan pembersihan diri adalah langkah yang paling berkesan untuk memutuskan rantaian wabak.

“Lagipun, langkah ini adalah yang paling mudah dilakukan kerana kita (Kerajaan Negeri) tidak minta rakyat untuk mencari vaksin sebaliknya hanya mengamalkan penjarakan sosial,” ujarnya sejurus majlis penyampaian sumbangan barangan makanan kepada penduduk di Kompleks Jalan Kedah dekat sini, petang ini.

CHOW Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menjangkakan akan berlaku kesesakan lalu lintas serta himpunan kelompok ramai di tempat-tempat tertentu esok.

“Fasa ini akan membawa kepada masalah kawalan, namun orang ramai harus ingat bahawa wabak COVID-19 ini masih menular.

Maka, orang ramai harus lebih berwaspada meskipun kes-kes baharu semakin berkurangan.

“Saya percaya dengan semangat dan kerjasama semua, kita akan menang memerangi wabak COVID-19 ini,” tegasnya.

Bercakap mengenai penguatkuasaan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berharap agar pihak berkuasa tidak terus mengenakan tindakan saman kepada mereka yang didapati melanggar tatacara operasi standard (SOP).

“Buat permulaan, pihak berkuasa boleh memberi nasihat supaya mereka tahu akan kesalahan mereka serta tidak mengulanginya pada masa depan,” katanya yang mahu setiap sektor yang dibenarkan beroperasi mematuhi piawaian SOP yang ditetapkan.

Pada 3 Mei lalu, Kon Yeow mengumumkan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang yang merangkumi tiga fasa iaitu Fasa 1 Persiapan (4 hingga 7 Mei); Fasa 2 Pembiasaan (8 – 12 Mei) dan Fasa 3 Pembukaan (mulai 13 Mei).

Terdahulu, Kon Yeow meluangkan masa kira-kira sejam menyerahkan sumbangan barangan makanan kepada penduduk di Kompleks Jalan Kedah.

Hadir sama, ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dan anggota dari Jabatan Kesukarelawan Malaysia.

Difahamkan, sebanyak 350 set barangan makanan berupa beras, biskut, mi segera, gula dan kopi diagihkan kepada semua penduduk di kompleks berkenaan, hasil sumbangan dana amal pengusaha nasi ayam, Wan Chai Chicken Rice, Vicky Wong. Serentak itu, pelitup muka turut diagihkan kepada penerima.

ANTARA penerima sumbangan yang sempat dirakam oleh lensa Buletin Mutiara.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ALISSALA THIAN