Fasa kedua Gurney Bay capai 84%, siap sepenuhnya menjelang 2026

Admin
whatsapp image 2025 05 21 at 7.54.58 pm

GEORGE TOWN – Projek pembangunan Fasa 2 Gurney Bay kini telah mencapai 84 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.

 

Fasa ini merangkumi pembinaan taman awam, laluan pejalan kaki pantai, terminal teksi air serta kemudahan parkir bertingkat, sekali gus melengkapkan transformasi kawasan pesisiran pantai ikonik tersebut sebagai tarikan pelancongan dan rekreasi utama di negeri ini.

 

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai dalam ucapannya turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa sektor pelancongan luar bandar khususnya di Seberang Perai.

 

“Pelbagai inisiatif sedang digiatkan termasuk kempen The Opposite Side of The Island serta kerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam menyokong Program Pengalaman Homestay Malaysia,” ujarnya.

 

Menurut beliau, MOTAC dan agensi-agensi berkaitan telah memberi komitmen untuk menyediakan peruntukan, latihan dan pembukaan koperasi dalam usaha memperkukuh ekosistem homestay berdaftar di negeri ini.

 

Tambahnya, sektor ekonomi kreatif turut diberi tumpuan melalui penganjuran acara seperti Penang International Container Art Festival (PICAF) dan George Town Festival yang terus menarik perhatian serta penyertaan dari dalam dan luar negara.

 

“Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama pihak industri, komuniti tempatan dan sektor swasta demi memastikan kesinambungan dan kemampanan industri ini,” katanya lagi.

 

Dalam perkembangan berkaitan, sektor pelancongan perubatan di Pulau Pinang menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan kehadiran 410,055 pelancong kesihatan dengan pendapatan sebanyak RM885 juta bagi tahun 2024.

 

Sebanyak lapan buah hospital di negeri ini turut tersenarai dalam ranking global oleh Newsweek dan Statista, termasuk Gleneagles Hospital Penang dan LohGuanLye Specialists Centre.

 

“Kerajaan Negeri komited untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan unggul serantau dengan pendekatan mampan, inklusif dan berpaksikan visi Penang2030 serta gagasan Malaysia Madani,” ujar beliau.

 

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS