Festival Penang2030, Hari Warisan Seberang Perai 2025 anjur serentak 12 Julai

Admin
5e743423 3759 490a 812b dbfb7b94736e SIDANG media mempromosi Penang2030 Festival X Hari Warisan Seberang Perai 2025 oleh Ketua Menteria (tengah) sendiri di Komtar pada 18 Jun 2025.

GEROGE TOWN – Festival Penang2030 akan dianjurkan serentak dengan Hari Warisan Seberang Perai 2025 pada 12 Julai ini, mulai 2 petang hingga 8 malam di Kampung Agong, daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Dwi festival itu dianjurkan bersama Unit Penang2030 Pejabat Ketua Menteri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tech Dome Penang dan Penang Green Council (PGC).

39655d25 e1a5 4ad5 aec5 162c36911733
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran tersebut adalah bertujuan merai dan melestarikan warisan budaya Seberang Perai, di samping menjadikan acara tersebut lebih berskala besar dengan sambutan meluas.

“Ini merupakan penganjuran kali kedua, yang mana kali pertama Festival Penang2030 dianjurkan pada tahun lepas di Komtar.

“(Festival Penang2030 X Hari Warisan Seberang Perai 2025) pada kali ini dijangkakan (menerima) kehadiran lebih 5,000 pengunjung,” jelasnya pada sidang media di Komtar pada 18 Jun 2025.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa penganjuran dwi festival pada kali ini adalah signifikan bersempena ulang tahun ketujuh pelancaran Visi Penang2030, iaitu suatu inisiatif transformasi yang digagaskan oleh Kerajaan Negeri sejak 2018 dengan merangkumi sektor pemerkasaan ekonomi, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, pembangunan infrastruktur moden hinggalah pada pengukuhan jalinan komuniti.

“Antara aktiviti utama sepanjang penganjuran ini (nanti) adalah pertandingan pakaian tradisional kanak-kanak, bengkel pembuatan makanan tradisional, bengkel batik, persembahan silat, wayang kulit, kenduri rakyat, pertandingan sukan rakyat, pertandingan mewarna dan pertandingan sepak raga bulatan.

“Festival ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat termasuk Jabatan Kebajikan Mesyarakat Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara, Pejabat Agama Daerah, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bakar Kapor.

“Festival ini merupakan wadah untuk kita menghayati kekayaan nilai tradisi sambil mendekati kemajuan teknologi secara seimbang,” ujarnya.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pengarah Komunikasi Korporat dan Komuniti bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhammad Muashraf Mohamed; Pengurus Besar PGC, Josephine Tan Mei Ling; Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Khoo Boo Wooi; Pengurus Besar PYDC, Lim Chia How dan wakil Kampung Agong, Mohamad Ikram Izzat Roslan serta Siti Nor Aminah Azizah turut sertai sidang media promosi ‘festival berkembar’ tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN