Galeri Pendidikan Alam Sekitar pupuk kesedaran penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar

Admin

KEBUN BUNGA – Galeri Pendidikan Alam Sekitar yang terletak di dalam kompleks Jabatan Taman Botani Pulau Pinang, Jalan Kebun Bunga, di sini, bukan sahaja memberi informasi mengenai biodiversiti secara umum malah turut membuka ruang untuk interpretasi alam sekitar kepada pengunjung.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, selain bertindak sebagai pusat maklumat, galeri tersebut juga dilihat mampu memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai alam sekitar.

“Saya pasti orang ramai yang berkunjung ke galeri ini bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang dipaparkan di sini tetapi juga dapat mempelajari mengenai pendidikan alam sekitar.

“Jadi, orang ramai yang sering mengunjungi Taman Botani Pulau Pinang untuk beriadah kini boleh meluangkan masa di Galeri Pendidikan Alam Sekitar ini.

“Diharapkan dengan ada galeri seumpama ini, ia akan memupuk rasa kesedaran umum mengenai penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, ” ucapnya pada majlis perasmian galeri berkaitan tadi.

Turut berucap, Kurator Jabatan Taman Botani Pulau Pinang, Dr. Saw Leng Guan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Mohd. Ali Sebran; Pengarah Jabatan Botani Pulau Pinang, Mohd. Azwa Shah Ahmad dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Rusli Tahir antara yang turut hadir pada majlis perasmian tersebut.

Difahamkan, penubuhan Galeri Pendidikan Alam Sekitar berkenaan dirintis oleh salah seorang kakitangan Jabatan Botani Pulau Pinang yang mendapat ilham setelah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Rain Forest Discovery Centre Sabah dan Forest Research Institute Malaysia (FRIM).

Mula beroperasi pada 2 Januari 2017, galeri tersebut diselia oleh Unit Pendidikan Alam Sekitar, Jabatan Taman Botani Pulau Pinang.

Selain memaparkan maklumat mengenai jenis-jenis pokok yang terdapat di Taman Botani Pulau Pinang, galeri berkaitan turut menyediakan ruang selesa untuk pengunjung cilik.

Dalam majlis sama, turut diadakan serentak adalah pelancaran buku panduan pokok-pokok istimewa, ‘A Naturalist’s Guide to the Trees of South East Asia‘.

Buku tersebut mempunyai ilustrasi bergambar dengan paparan 286 spesies tumbuhan yang terdapat di Asia Tenggara.

Malah, pihak Taman Botani Pulau Pinang turut bekerjasama dengan John Beaufoy Publishing Limited dalam menjayakan penerbitan buku berkenaan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI