JAWI – Penduduk Kampung Jawi barubaru ini meluahkan kebimbangan apabila sebuah gelanggang berbumbung bola keranjang di sini dipercayai dijadikan sarang penagihan dadah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berkata, keadaan sedemikian telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan yang menganggap situasi berkaitan sebagai ancaman terutamanya kepada anak-anak muda di sini.
“Penduduk di sini sudah tidak tahan lagi, makin hari makin ramai penagih melepas gian. Ada dalam kalangan penagih menjadikan gelanggang tertutup ini sebagai tempat tinggal, tidur dan buang air merata-rata.
“Mereka (penagih) ini bersikap agresif dan ada yang bertindak melampau apabila ditegur. Sepatutnya gelanggang ini digunakan masyarakat setempat untuk beriadah dan bukannya sebagai sarang penagihan,” tegasnya ketika mengadakan tinjauan ke lokasi berkenaan di sini baru-baru ini.
Turut sama, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), H’ng Mooi Lye dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jawi, Chong Swee Peng serta beberapa ahli JKKK Jawi.
Dalam pada itu, Lip Chee memberitahu bahawa pihaknya telah mengutarakan permasalahan tersebut kepada Ketua Polis Negeri dan meminta MPSP mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil untuk membendung kejadian berkaitan.
“Saya ingin menggesa pihak polis supaya memberi kerjasama supaya mengadakan rondaan dan tangkapan. Pada masa sama, juga bekerjasama dengan MPSP dan JKKK bagi membendung permasalahan ini.
“Saya harap masalah ini dapat ditangani segera kerana ia boleh merosakkan keharmonian dan kesejahteraan penduduk di sini,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Mooi Lye memberitahu bahawa penagih-penagih berkaitan dipercayai bukan sahaja menjadikan gelanggang tersebut seperti tempat tinggal mereka, malah juga menimbulkan isu keselamatan serta kebersihan kawasan sekitar.
“Mereka (penagih) membuang alat suntikan dan botol-botol arak di merata-rata sekitar gelanggang ini. Secara tidak langsung, tindakan ini boleh mengundang ‘bahaya’ sekiranya kanakkanak yang datang bermain di sini bertindak memungut alat-alat suntikan itu dan bermain dengan ia,’’ jelasnya.
Malah, beliau juga difahamkan bahawa ahli-ahli JKKK Jawi juga pernah beberapa kali bertindak ‘menghalau’ penagih-penagih dadah berkaitan, namun mereka enggan memberi kerjasama dan memberontak.
d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);