GEORGE TOWN – Nur Anis Nabilah Muhamad Zahir yang tular baru-baru ini maraih A+ dalam kesemua sembilan subjek peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 memenuhi jemputan khas ke Majlis Jamuan Aidilfitri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang di Komtar pada 6 April 2026.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sians MARA (MRSM) Balik Pulau itu ditemani ayah, Muhamad Zahir Abdul Rahman, 51, dan pengasuhnya sejak kecil, Aliza Che Ros.
Tambah bermakna, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri meluangkan masa meraikan kejayaan Nur Anis Nabilah sekeluarga.
Dalam majlis sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim turut menyampaikan hadiah berupa iPad kepada Nur Anis Nabilah, sambil disaksikan Pengarah Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali dan Pengarah Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Rozita Ibrahim serta sekalian anggota jabatan berkenaan.
Inisiatif JKM negeri menganjurkan majlis jamuan Aidilfitri serentak dengan acara meraikan kejayaa Nur Anis Nabilah sekeluarga adalah signifikan memandangkan ayah kepada pelajar cemerlang berkenaan masih merupakan klien jabatan.
Melihat bagaimana Nur Anis Nabilah sekeluarga diraikan secara sederhana, membawa makna yang mendalam bahawa kejayaan yang dirangkul tidak pernah datang bergolek.
Namun, kejayaan Nur Anis Nabilah itu membuktikan bahawa kekangan hidup sekeluarga termasuk keterbatasan fizikal yang dialami oleh ibu bapa bukanlah penghalang untuk beliau mencanting kejayaan akademik dalam perca kehidupan.
“Di MRSM, masa saya banyak dengan mengulang kaji pelajaran sahaja (selain) ke kelas tiusyen pada sebelah petang dan malam.
“Pada waktu lapang atau terasa ‘letih’ belajar, saya akan menyulam masa dengan membaca buku cerita genre cabaran hidup ataupun komik,” jelasnya dalam nada sederhana ketika ditemui oleh Buletin Mutiara sebentar tadi.

Nur Anis Nabilah memberitahu beliau menjadi ulat buku sekarang adalah hasil didikan si ayah sejak kecil.
“Pernah saya membelanjakan sampai RM500 di kedai buku sebab minat ini,” jelasnya sambil menyatakan bahawa beliau selesa melanjutkan pengajian di dalam negara sahaja supaya tidak berjauhan dari keluarga.
Difahamkan, Nur Anis Nabilah bakal melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan bertauliah (ACCA) di Univeristi Sunway, dengan tajaan pembelajaran daripada Yayasan Peneraju.
Muhamad Zahir yang ditemui kemudiaan memberitahu bahawa beliau menerapkan budaya membaca sejak Nur Anis Nabilah masih kecil.
“Saya ada keterbatasan dari segi penglihatan, begitu juga ibunya (mengalami penglihatan terbatas), jadi untuk memastikan anak kami celik hidup adalah dengan budaya membaca.
“Saya terapkan semangat membaca dalam diri Anis sejak dia kecil.
“Biarpun saya tidak dapat melihat dengan jelas, saya mahu dia melihat dunia melalui ilmu,” ujarnya yang bekerja sebagai tukang urut di Excellent Blind Massage, Kompleks Bukit Jambul (KBJ), Bayan Baru.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri terutama JKM Pulau Pinang atas sistem sokongan yang diberikan kepadanya selama ini, untuk terus kuat sebagai tulang belakang keluarga.
Kisah Nur Anis Nabilah adalah bukti sahih bahawa ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.’
Syabas Anis sekeluarga!
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD