Harap kerosakan gelanggang di Padang Tembak tidak berulang, tegas Exco

dsc 2756

KEBUN BUNGA – Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM200,000 bagi memastikan penduduk Padang Tembak mendapat kemudahan gelanggang untuk sukan futsal dan bola keranjang yang lebih selesa.

 

 

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata gelanggang tersebut terpaksa dinaik taraf semula selepas berlaku beberapa kerosakann yang dipercayai berpunca daripada perbuatan vandalisme.

 

 

Justeru, beliau menasihati penduduk setempat supaya menjaga kemudahan tersebut dengan baik bagi mengelakkan berlaku sebarang kerosakan seperti sebelum ini.

 

img 2381

“Antara kerja-kerja naik taraf terlibat adalah naik taraf lantai gelanggang, pemasangan semula pagar penghadang bola, mengecat semula, pelindung wayar keselamatan dan pagar anti panjat.

 

 

 

“Selain itu, pemasangan lampu LED juga dilakukan bagi membolehkan penggunaannya di waktu malam,” ujar beliau ketika melawat projek pembaikan semula gelanggang futsal dan bola keranjang di Padang Tembak di sini baru-baru ini.

 

 

Difahamkan projek naik taraf tersebut telah siap pada Oktober 2023 namun beberapa kerosakan telah berlaku dipercayai akibat vandalisme.

 

 

 

Oleh itu, kerja-kerja pembaikan semula telah dilaksanakan semula melalui peruntukan RM10,000 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng.

 

 

dsc 2735

 

Jelas Boon Heng, sejak siap pada Oktober lepas gelanggang tersebut berdepan tiga aktiviti vandalisme termasuk merosakkan pagar, pendawaian elektrik dan kerosakan lain.

 

 

 

“Bagi menjamin keselesaan penduduk, lampu gelanggang akan dipadam tepat jam 10 malam.

 

 

 

 

“Aktiviti bersenam seperti taici juga akan diadakan seawal jam 6 pagi dan sekiranya ada cadangan untuk menambah baik, boleh disuarakan melalui pusat khidmat saya.

 

 

 

 

“Saya juga sedia mempertimbangkan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam membendung aktiviti vandalisme daripada berulang,” katanya kepada pemberita.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN