Oleh : WATAWA NATAFZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD.DAUD
PANTAI JEREJAK – Garis panduan operasi perniagaan makanan di atas trak atau food truck akan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri selewatlewatnya pertengahan tahun hadapan.
Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berharap Pulau Pinang akan terus menjadi negeri pilihan utama untuk golongan peniaga makanan khususnya daripada kalangan Melayu mencari rezeki halal.
“Saya juga berharap apabila garis panduan disiapkan, ianya adalah yang terbaik dan tidak bertindih dengan mana-mana undang-undang…takut nanti ada pula peniaga yang diambil tindakan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat kepada pemberita pada penganjuran berkaitan di sini baru-baru ini.
Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata demikian selepas merasmikan Festival Food Truck 2016 di perkarangan sebuah pasar raya dekat Parlimen Bayan Baru di sini.
Pegawai Daerah Barat Daya, Ederis Mat Din, Jusni Ismail (Pegawai Daerah Timur Laut) serta dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Gan Ay Ling serta A. Kumaresan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis perasmian festival tersebut.
Menurut Mohd. Rashid, sebelum ini, isu budaya terkini food truck tersebut turut dibangkitkan oleh beberapa anggota mesyuarat dalam sesi persidangan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN).
“Beberapa kawasan kini juga sedang dikenal pasti untuk dijadikan tapak perniagaan food truck sama ada di Seberang Perai mahupun kawasan pulau,” responsnya.
Difahamkan, Festival Food Truck 2016 dianjur oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri I bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya (DBD) dan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut (DTL) dengan penyertaan 12 pengusaha food truck dan beberapa gerai jualan lain.