Industri francais sumbang pertumbuhan KDNK negara

PANTAI JEREJAK – Industri francais merupakan salah satu sektor penting dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sekaligus merangsang perkembangan ekonomi negara.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd Rashid Hasnon berkata, sektor tersebut lebih berisiko rendah dan kini kian diceburi
rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan penggiat-penggiat industri kecil dan sederhana (SME).

“Pada tahun lalu, industri francais menyumbang RM26.8 bilion kepada KDNK negara atau bersamaan 2.6 peratus daripada keseluruhan.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum ini menyasarkan industri francais mampu menjadi penyumbang sehingga 9.4 peratus daripada keseluruhan KDNK menjelang 2020 kelak,” ujarnya ketika merasmikan Ekspo Francais Antarabangsa dan Peluang Perniagaan dekat Subterranean Penang International Conference & Exhibition Centre (SPICE) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Pengusaha Kecil dan Sederhana Seberang Perai, Leong Yook Kheong dan Presidennya, Francis
Wong.

Menurut Mohd. Rashid, syarikat-syarikat francais dari Malaysia kini tidak kurang hebatnya, apabila mampu memasarkan produk keluaran anak tempatan di lebih 2,000 cawangan membabitkan 54 negara.

“Malaysia turut menyasarkan untuk menjadi hab utama bagi pasaran francais ke Timur Tengah dan pasaran Indonesia,” jelasnya.

Tambah beliau, sebagai tambahan, Kerajaan Negeri turut menggalakkan perkembangan sektor francais menerusi penganjuran seminar, bengkel, program mentor-mentee termasuk mewujudkan zon SME di Bayan Lepas serta Batu Kawan.