Harap RKK Tapak Warisan Dunia George Town gantian diwartakan tahun hadapan – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Draf akhir Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (Penggantian) diluluskan secara prinsip dan akan dibawa ke Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa untuk pertimbangan seterusnya mewartakan pelan tindakan berkaitan.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, RKK Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (Penggantian) itu diluluskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Rancangan Kawasan Khas yang berlangsung pada 5 Julai 2022.

 

Seterusnya, jawatankuasa berkaitan akan menetapkan tarikh bagi proses publisiti dan penyertaan awam  seperti yang dinyatakan melalui Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

 

“Proses publisiti dan penyertaan awam ini penting bagi membolehkan semua pandangan, input mahupun cadangan daripada seluruh rakyat Pulau Pinang diambil kira yang mana Kerajaan Negeri akan memastikan ketelusan pelaksanaannya.

 

“(Dan) saya berharap agar proses publisiti dan penyertaan awam ini dapat diadakan pada tahun ini juga supaya pewartaan RKK dapat dilakukan pada tahun hadapan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan secara langsung menerusi Facebook Live pada 5 Julai 2022.

 

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) bersama-sama Daniel Gooi Zi Sen (dua dari kiri), Mohd. Bashir Sulaiman (kiri sekali) dan Abd. Talip Abdul Rahman pada sidang media secara langsung menerusi platform Facebook.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Perancangan & Maklumat Guna Tanah PLANMalaysia@Pulau Pinang, TPr. Mohd. Bashir Sulaiman dan Timbalan Pengarah Bahagian Rancangan Pembangunan & Projek Khas PLANMalaysia@Pulau Pinang, Abd. Talip Abdul Rahman.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa inisiatif RKK penggantian ini telah bermula pada tahun 2020 yang mana sebanyak 24 kali mesyuarat peringkat jawatankuasa berkaitan diadakan dalam menyediakan garis panduan pemuliharaan dan pemeliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

 

“RKK Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town terbahagi kepada dua utama, iaitu Zon Teras (Core Zone) yang berkeluasan 109.38 hektar yang mana terdapat 1,894 bangunan bersejarah dalam zon ini.

 

“Manakala, keduanya adalah Zon Penampan (Buffer Zone) seluas 150.04 hektar merangkumi kawasan di sekitar pelabuhan, Jalan Dr. Lim Chwee Leong sehingga ke barat daya dan Jalan Transfer ke arah barat laut.

 

“Memandangkan kepesatan guna tanah di sekitar kawasan George Town, maka Kerajaan Negeri memutuskan supaya RKK ini dilihat semula.

 

“(Dan) terdapat dua jilid RKK Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town yang memfokuskan trend guna tanah semasa serta cadangan guna tanah supaya tidak menjejaskan Nilai Keunggulan Sejagat atau Outstanding Universal Value (OUV) yang digariskan oleh Jawatankuasa Warisan Dunia,” jelasnya.

BUKU Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town yang diterbitkan sebelum ini. (Gambar arkib 2021).

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut menzahirkan penghargaan dan ucapan syabas kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas sambutan ulang tahun ke-14 pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. 

 

 

 

Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town amat unik kerana mempunyai pelbagai reka bentuk bangunan yang luar biasa menunjukkan garis masa pembangunan yang berbeza mengikut peredaran zaman sejak era penjajahan Belanda, Portugis dan British.

 

“(Dan) saya berharap dengan adanya RKK ini, hasrat untuk memastikan integriti dan ketulenan warisan di tapak ini dikekalkan mengikut ketetapan UNESCO,” katanya.

 

Sebagai makluman, RKK merupakan rancangan tindakan khusus untuk satu-satu kawasan yang telah dikenal pasti oleh Pihak Berkuasa Negeri atau Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan merangkumi pelan cadangan terperinci berbanding Rancangan Tempatan.

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI