Harap SC bantu lebih banyak syarikat Pulau Pinang disenaraikan dalam Bursa Malaysia

Admin
KETUA Menteri (tiga dari kanan) diiringi Abdul Halim Hussain (empat dari kanan) dan Awang Adek Hussin (kanan sekali) semasa melawat salah satu sudut pameran peserta program Bersama InvestSmart @Penang2023 anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Queensbay Mall di sini pasa 26 Mei 2023.

PANTAI JEREJAK – Empat daripada tujuh syarikat dalam negara yang tersenarai di Forbes Asia’s Best List tahun 2022 merupakan syarikat tempatan dari Pulau Pinang (tersenarai dalam Bursa Malaysia), kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

KETUA Menteri

Melihat Pulau Pinang sebagai negeri yang berpotensi menghasilkan firma pelabur kewangan dan modal berwibawa pada masa hadapan, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berharap Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dapat terus membantu serta menarik minat syarikat-syarikat di negeri ini untuk disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

“Terima kasih kepada SC kerana membawa acara tahunan utama InvestSmart ke Pulau Mutiara ini… (memandangkan) Pulau Pinang juga menghasilkan banyak syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia.

“Saya berharap agar SC dapat meneruskan usaha pendidikan pelaburnya melalui InvestSmart bagi menyokong agenda Kerajaan Negeri dalam mewujudkan masyarakat pelabur yang bijak dan bermaklumat,” jelasnya semasa merasmikan acara Bersama InvestSmart @Penang2023 di Central Atrium, Queensbay Mall di sini pada 26 Mei 2023.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan berpendapat bahawa inisiatif SC menganjurkan acara berkaitan selama tiga hari mulai 26 Mei 2023 sedikit banyaknya membantu orang awam daripada menjadi mangsa skim penipuan pelaburan.

AWANG Adek Hussin

Berucap sebelum itu, Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin memberitahu bahawa Pulau Pinang mempunyai beberapa syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia dengan sebanyak 85 syarikat disenaraikan di Pasaran Utam, ACE dan Leap.

“Sebuah lagi syarikat berpengkalan di Pulau Pinang juga dijangka akan disenaraikan secara umum sebelum akhir suku (tahun 2023) ini,” ujarnya sambil mengharapkan Pulau Pinang dapat terus memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi negara serta pasaran modal.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa SC telah menyenaraikan sejumlah 267 nama ke SC Investor Alert List, menyekat 166 laman web serta 224 akaun media sosial yang disyaki menjalankan penipuan pelaburan.

“Pada suku pertama tahun (2023) ini sahaja, kami (SC) telah menambah 84 entiti ke dalam SC Investor Alert List, menyekat 61 laman web dan 80 akaun media sosial,” ulasnya.

Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga ADUN Batu Maung dan Pengarah Urusan SC, Kamaruddin Hashim turut sertai majlis perasmian acara tersebut.

Dengan tema ‘Silap Labur Duit Lebur’, Buletin Mutiara difahamkan bahawa acara berkaitan selama tiga hari ini di sini menampilkan lebih 35 peserta pameran antaranya Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), Bursa Malaysia Berhad, Persekutuan Pengurusan Pelaburan Malaysia (FIMM), Pentadbir Pencen Swasta (PPA) serta beberapa lagi pemain industri pasaran kewangan dan modal.

SC selalu penganjur acara tersebut menyasarkan kehadiran seramai 20,000 orang sebagaimana berjaya dicapai dalam acara seumpama itu di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak sebelum ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN