Hargai sokongan Kerajaan Negeri dalam pembangunan usahawan

Admin

GEORGE TOWN – Yayasan Usahawan Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap sokongan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam aspek pembangunan usahawan di negeri ini.

Pengerusinya, M.K Nitesh Malani berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat pejabat beliau di Komtar sebentar tadi.

“Kita akui bahawa Kerajaan Negeri terutamanya melalui Exco Pembangunan Usahawan sangat menyokong pembangunan usahawan terutamanya usahawan kecil dan sederhana (SME).. dan kita sangat menghargainya.

“Malah, Ketua Menteri sendiri telah menunjukkan corak kepemimpinan yang progresif dalam membangun dan memajukan negeri Pulau Pinang,” katanya.

Pertemuan kira-kira 15 minit itu menjurus kepada perbincangan mengenai fungsi dan hala tuju Yayasan Usahawan Malaysia dalam membantu meningkatkan potensi SME terutamanya di Pulau Pinang.

Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia, M.K. Nitesh Malani ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri sebentar tadi.

Terbaharu, Nitesh Malani berkata pihaknya bakal menganjurkan satu program berprestij, SME and Entrepreneurs Business Award (SEBA 2022) Northern Edition pada 26 Mac ini.

“Penganjuran pada tahun ini adalah berkonsepkan ‘Rise Up’ yang mana kami kami berharap ia akan memberikan impak dan hala tuju kepada usahawan terutamanya di negeri-negeri wilayah utara.

“Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak akan hadir dan berharap agar Ketua Menteri juga dapat hadir sama pada program ini nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Kon Yeow berharap agar penganjuran program tersebut berjalan dengan jayanya dan mampu memberi manfaat kepada para usahawan.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut adalah Ketua Bahagian Kewangan Yayasan Malaysia, Evelyn Sreleka Dass; Pengarah Program SEBA 2022 Northern Edition, Khoo Chye Leng serta Pengerusi Penganjur SEBA 2022, Wong Bee Wah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS