Hari terakhir operasi SAR Muhammad Hawari, kenalan terdekat titipkan harapan

Admin

RATA-RATA telah mengetahui bahawa hari ini merupakan hari terakhir operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan Gunung Everest pada 19 Mei baru-baru ini.

Difahamkan, operasi SAR Muhammad Hawari ini dikatakan mempunyai dua opsyen iaitu pertama, menunggu musim pendakian pada tahun hadapan atau opsyen kedua menjalankan SAR dari atas udara dan kedua-dua opsyen berkaitan perlu memohon permit khas sekiranya berkaitan.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL cuba mendekati beberapa individu yang juga kenalan Muhammad Hawari bagi mendapatkan komen serta perkembangan terkini berkaitan hari terakhir operasi SAR ini.

HARYANY Muhamad.

Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), HARYANY MOHAMAD yang juga merupakan majikan Muhammad Hawari memaklumkan bahawa beliau juga mengikuti perkembangan setakat pagi ini.

“Pasukan SAR pada pagi ini kembali ke Bandar Kathmandu dari lapangan terbang dan dikhabarkan cuaca masih lagi buruk dan menyukarkan operasi pencarian.

“Jika keadaan cuaca kembali elok, pasukan (operasi) SAR akan cuba terbang semula menjelang waktu tengah hari atau petang, bergantung juga kepada keadaan cuaca,” ujarnya yang kini sedang berada di Nepal, Kathmandu menerusi perbualan telefon.

HARRY Chai Heng Hua.

Bagi Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), HARRY CHAI HENG HUA, beliau turut menzahirkan rasa dukacitanya mengenai perkhabaran ini.

“Bagi saya, terpulang kepada pihak kerajaan Nepal serta Wisma Putra untuk memutuskan tindakan seterusnya.

“Mereka harus membuat keputusan berdasarkan beberapa faktor penting sama ada meneruskan operasi SAR atau menyambung semula pada tahun depan apabila Gunung Everest dibuka semula.

“Setakat ini keselamatan pasukan SAR juga harus diutamakan kerana ada sebab mengapa mereka terpaksa menutup Gunung Everest dan membukanya semula tahun depan kerana cuaca ekstrem,” jelasnya sambil mengharapkan yang terbaik untuk semua pasukan.

MUHAMMAD Aliff Hilmi Ali.

Selain itu, bagi rakan sekerja Muhammad Hawari, MUHAMMAD ALIFF HILMI ALI turut mendoakan yang terbaik agar Muhammad Hawari segera ditemui dalam keadaan selamat.

“Saya beserta rakan sekerja yang lain tidak putus-putus mendoakan yang terbaik bagi Muhammad Hawari dan berharap usaha SAR ini berjalan dengan lancar walau mengalami kesukaran keadaan cuaca di sana,” responnya yang juga merupakan Pembantu Muzium di LMNPP.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR