Hasrat daftar Durian Tupai King, Cenderawasih bakal mantapkan portfolio agropelancongan Pulau Pinang

Admin
105a3115 ccd3 43df 8cfd c59d97d0f697 KETUA Menteri (tengah) dengan diiringi Fahmi Zainol (dua dari kiri), Lee Khai Loon (kiri sekali), Baderul Amin Abdul Hamid (kanan sekali) dan pemilik Rain Tree Farm Taman Permatang Tinggi Indah (empat dari kiri) Program Durian Outreach 2025 di sini pada 9 Ogos 2025.

MACHANG BUBUK – Inisiatif menilai beberapa varieti baharu termasuk Durian Tupai King (D214) dan Durian Cenderawasih untuk didaftarkan bukan sahaja akan memperkukuh lagi portfolio durian negeri dalam peta agropelancongan negara, malah sekali gus membuka ruang lebih banyak jenis buah tempatan tersebut menembusi pasaran antarabangsa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Program Durian Outreach 2025 di Rain Tree Farm, Taman Permatang Tinggi Indah di sini pada 9 Ogos 2025.

55675763 51ae 4fc6 9eb3 2e62ead49bb5
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini pada petang tadi.

“Saya difahamkan beberapa varieti baharu sedang dinilai untuk pendaftaran, termasuk Durian Tupai King (D214) dan Durian Cenderawasih.

“Usaha ini akan memperkukuh lagi portfolio durian negeri dan membuka ruang untuk lebih banyak varieti tempatan menembusi pasaran global,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa kejayaan memperkenal varieti Durian Tokun Top (D220) yang berasal dari kawasan Cherok Tokun, Seberang Perai Tengah (SPT) telah memahat jenis buah tempatan tersebut dalam peta agropelancongan durian negeri.

“Ini telah membuktikan keupayaan sektor pertanian Pulau Pinang
bersaing dalam pasaran durian premium di peringkat antarabangsa, termasuk Thailand dan China,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi dan Tanah dan Komunikasi sekali lagi menjelaskan bahawa pentadbirannya sedang membangunkan sebuah hab penyelidikan dan pendidikan durian yang dikenali sebagai Penang Durian Valley@Relau.

Dijangka siap pada suku pertama tahun 2027, beliau memberitahu bahawa projek tersebut bakal menjadi pusat penyatuan varieti durian tempatan, termasuk klon premium.

Selain itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri hari ini turut mempergiat usaha promosi durian dari Pulau Pinang ke peringkat global termasuk Republik Rakyat China, Singapura, India, Australia, Eropah dan Timur Tengah.

Berucap sebelum itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid yang mana pihaknya menganggap Program Durian Outreach 2025 sebagai komitmen bersama MBSP dan rakan strategik dalam membina ekosistem pembelajaran komuniti berasaskan agro-pelancongan, khususnya dalam penanaman durian sebagai komoditi bernilai tinggi.

“Program ini menyediakan platform upskilling kepada pengusaha tani dan merangsang penyertaan masyarakat dalam menghargai potensi durian sebagai pemacu ekonomi setempat serta warisan pertanian negara.

“Program ini tidak sekadar menjadi platform penyebaran ilmu, bahkan lebih jauh daripada itu, ia membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pemerkasaan ekonomi komuniti dan pendedahan kepada standard pematuhan antarabangsa bagi produk-produk pertanian kita.

“Talk show yang mengetengahkan aspek penggredan, pelabelan dan pengeksportan durian ke Hong Kong dan China, misalnya, merupakan satu bentuk pendidikan langsung yang sangat praktikal kepada para pemain industri,” ulasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana meluangkan masa menyempurna acara perasmian majlis di sini pada tengah hari tadi.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon serta barisan Ahli Majlis MBSP lain turut menyertai acara perasmian penutup Program Durian Outreach 2025.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa idea mendaftarkan varieti durian yang berasal dari kampung-kampung sekitar Pulau Pinang sebenarnya adalah idea daripada Jabatan Pertanian Negeri sendiri.

“Bukan idea asli saya, tapi cadangan daripada Jabatan Pertanian Negeri untuk mendaftarkan lebih banyak (varieti) durian kampung.

“(Langkah mendaftarkan beberapa varieti baharu) ini adalah usaha untuk tambah nilai produk durian untuk peringkat akar umbi, di samping menarik minat penggemar durian serta meningkatkan hasil pengusaha tempatan,” jelasnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS