Hospital medan HPP siap 70 peratus, operasi 22 September

SEBAHAGIAN anggota ATM sedang melakukan kerja-kerja pembinaan hospital medan di perkarangan parkir berhadapan Blok A Hospital Pulau Pinang di sini pada petang tadi.

GEORGE TOWN – Pembinaan hospital medan di perkarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini kini siap 70 peratus dan dijangka mula beroperasi pada Rabu, 22 September 2021.

DR. Mohd. Zamri Derahman

Komander ‘Hospital Medan’ HPP, Leftenan Kolonel Dr. Mohd. Zamri Derahman memberitahu bahawa empat pegawai perubatan dan 50 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diturunkan ke sini, selain 100 unit katil pesakit termasuk empat katil yang diperlukan untuk operasi Unit Rawatan Rapi (ICU) akan dipasang dalam masa terdekat.

“Untuk pengoperasi pula, kita (ATM) akan kekalkan dua pegawai perubatan dan 22 orang anggota tentera untuk meneruskan (operasi Hospital Medan) daripada segi teknikal, pentadbiran, perawatan dan sebagainya.

“Setakat ini, daripada segi perancangan persiapan di medan, kita (ATM dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur) mendapat kerjasama sepenuhnya daripada JKNPP (Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang) dan pihak hospital (HPP) sendiri,” jelasnya dalam sidang media ringkas di sini pada 17 September 2021.

Turut serta, Ketua Unit Kesihatan Awam HPP, Dr. Prashant Subramaniam dan pegawai perubatan, Dr. C.Y. Wong.

Difahamkan, Mohd. Zamri juga merupakan Komander Hospital Medan di Hospital Kepala Batas dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam.

ACARA gimik penyerahan kepengkapan berkaitan oleh Khoo Boo Leong (tengah) kepada Dr. Mohd. Zamri Derahman (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh tiga individu lain di sini tadi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Zamri turut merakamkan penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO), Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia (Pulau Pinang) terutama kepada Pesuruhjayanya, Datuk Khoo Boo Leong yang telah membuat sumbangan amal berupa 960 unit kit ujian reaksi rantai polimerase (PCR) COVID-19; 3,000 keping perlindungan muka dan 1,950 pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk keperluan pengoperasian di Hospital Medan ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin diiringi Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada 12 September lepas mengadakan lawatan ringkas ke tapak ‘Hospital Medan’ di perkarangan parkir berhadapan Blok A HPP.

Bercakap kepada pemberita, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau (Negeri Sembilan) turut memberitahu bahawa pihaknya menjangkakan proses penyediaan kemudahan hospital lapangan dilengkapi 100 katil tambahan berserta fasiliti bantuan pernafasan dan beberapa kemudahan lain sebagaimana di sebuah unit rawatan rapi (ICU) bakal mengambil masa kira-kira seminggu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING