GEORGE TOWN – Sebanyak 20,000 keping pelitup muka disumbangkan kepada Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi membantu memenuhi keperluan perlindungan kesihatan petugas hospital dan pesakit susulan keadaan jerebu yang melanda negara sebelum ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memastikan golongan yang lebih terdedah kepada risiko kesihatan mendapat perlindungan sewajarnya.
Menurut beliau, walaupun keadaan jerebu kini semakin baik, langkah pencegahan tidak seharusnya dipandang ringan, khususnya bagi kanak-kanak, warga emas, individu yang mempunyai masalah kesihatan serta mereka yang bekerja di luar bangunan.

“Sumbangan sebanyak 20,000 keping pelitup muka kepada HPP amat bermakna dalam membantu memenuhi keperluan hospital serta melindungi kesihatan petugas dan pesakit.
“Sebelum ini, saya bersama pasukan Parlimen Tanjong telah mengagihkan pelitup muka kepada sekolah rendah, sekolah menengah, klinik kesihatan, balai polis, balai bomba, rumah warga emas dan rumah kebajikan kanak-kanak di kawasan Tanjong,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan pelitup muka kepada HPP di sini pada 14 November 2026.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Dr. R.A. Lingeshwaran; Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Pengarah HPP, Dr. Goh Hin Kwang serta Pengerusi Lembaga Pelawat HPP, Dato’ Tay Leong Seng.

Dalam pada itu, Hui Ying turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan wanita, khususnya melalui perkhidmatan saringan awal yang disediakan kerajaan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Jelasnya, antara perkhidmatan yang disediakan termasuk program subsidi ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara serta saringan kanser serviks menerusi ujian HPV DNA dan Pap smear melalui rangkaian Klinik Nur Sejahtera serta program jangkauan LPPKN.
“Pengesanan awal amat penting bagi membolehkan wanita mengenal pasti risiko kesihatan serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.
“Ramai wanita perlu mengimbangi tuntutan pekerjaan, keluarga dan tanggungjawab menjaga anak-anak serta ibu bapa yang semakin berusia.
“Begitu juga petugas wanita di hospital yang, dalam kesibukan menjaga pesakit, tidak seharusnya mengabaikan kesihatan sendiri. Mereka yang menjaga orang lain turut perlu menjaga kesihatan diri,” katanya.

Sementara itu, Hin Kwang berkata, sumbangan yang dianggarkan bernilai RM9,000 itu amat bermakna dan tepat pada masanya bagi membantu pihak hospital memenuhi keperluan pelitup muka.
“Pelitup muka berkenaan boleh diagihkan kepada wad-wad serta waris pesakit yang datang melawat bagi mengurangkan risiko penularan penyakit seperti influenza dan jangkitan lain.
“Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Tanjong atas keprihatinan beliau serta Dato’ Tay Leong Seng yang banyak membantu hospital menerusi pelbagai inisiatif dan sumbangan.
“Antara usaha yang dilaksanakan termasuk projek menaik taraf ruang menunggu Balai Sri Tanjung bagi Klinik Psikiatri yang kini lebih selesa, selain penyaluran sumbangan peralatan kepada beberapa wad serta penyediaan kemudahan penapis air di Klinik Urologi.
“Usaha seperti ini wajar diteruskan selaras dengan aspirasi kerajaan yang mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat (whole-of-government and whole-of-society approach),” jelasnya.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ALISSALA THIAN