Inisiatif PIX jadikan Pulau Pinang lokasi kepelbagaian ekonomi

c626b787 0024 489e bf43 3df3f7215b75

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa inisiatif Kerajaan Negeri melalui Penang Internet Exchange (PIX) telah menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi semula jadi untuk kepelbagaian aktiviti usahawan.

 

 

Menurut beliau, perkara itu tidak terhad bermula daripada perniagaan tradisional hingga ke aktiviti ekonomi yang memanfaatkan teknologi terkini.

 

 

“Saya amat berbangga melihat bangsa Malaysia yang kini terbukti semakin terbuka kepada ilmu berkaitan teknologi dan pemasaran produk dalam talian yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ekonomi serta usia.

 

 

 

“Dengan pelancaran PIX baru–baru ini, diharapkan ia dapat melonjakkan lagi pertumbuhan sektor perniagaan di negeri ini ke peringkat global.

 

 

“PIX merupakan usaha Kerajaan Negeri bersama-sama agensi berkaitan dalam usaha untuk mengurangkan kependaman rangkaian untuk pengguna internet dan memastikan pengalaman dalam talian yang lebih pantas untuk semua rakyat Pulau Pinang,” ujarnya pada penganjuran Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan Dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang dekat Dewan Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini petang tadi.

 

 

Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan Dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim.

 

b5340e71 825d 4d71 97c5 70f35312b5d9

 

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Saleh Fateh Din dan Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli.

 

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco bagi Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah menyatakan bahawa dalam era digital, penglibatan usahawan dalam talian memainkan peranan penting untuk meningkatkan daya saing yang sihat.

 

 

 

“Ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada pembangunan minat yang kreatif dan kritis dalam kalangan masyarakat.

 

 

“Di samping itu, ia juga melatih para usahawan untuk membuka peluang baharu dalam mencipta pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya.

 

 

“Justeru, keupayaan untuk beradaptasi dengan teknologi merupakan kelebihan utama usahawan dalam talian dan Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyokong perkembangan ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

 

 

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap agar para usahawan serta rakyat di negeri ini dapat menjalinkan hubungan yang kukuh, saling bantu-membantu dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman untuk kebaikan bersama.

 

 

 

Anwar dalam ucapannya mahukan generasi muda dalam kalangan usahawan hari ini supaya menguasai ilmu berasaskan teknologi bagi memacu kemajuan negara agar kepesatan ekonomi dapat dipertingkatkan.

 

 

“Kalau nak pacu negara lebih maju dalam arus perubahan maka tahap penguasaan ilmu dalam bidang-bidang baharu harus cepat dikuasai.

 

 

 

“Dalam beberapa puluhan tahun lalu, perubahan kencang berlaku, kalau kita lambat sesuaikan diri, kita akan ketinggalan.

 

 

“Negara-negara kecil di Eropah misalnya, mereka memacu perubahan teknologi dengan cepat dan hasilnya kini mereka juga telah maju kehadapan setanding negara-negara besar yang lain,” kata Ahli Parlimen Tambun, Perak itu.

 

 

 

Pada majlis sama, Anwar turut menyampaikan pakej internet rahmah kepada pelajar-peajar institut pengajian tinggi (IPT) terpilih.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT