Insentif jadikan bangunan hijau, diiktiraf GBI akan diperluas – Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Bahagian pulau sehingga kini mempunyai 57 buah bangunan yang mendapat pengiktirafan Indeks Bangunan Hijau (GBI), sungguhpun Pulau Pinang dikatakan sebagai negeri dengan struktur bangunan bertingkat paling padat di negara ini.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa penerapan ciri-ciri GBI pada bangunan-bangunan baharu dan sedia ada akan diperluaskan lagi dengan pemberian pelbagai insentif galakan kepada pihak-pihak berkepentingan.

Langkah itu, menurutnya lagi, adalah selari dengan moto Kerajaan Negeri iaitu ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Pintar, Sihat dan Selamat’ serta mempercepatkan lagi usaha memburu pengiktirafan status negeri hijau pertama negara pada masa hadapan.

“Sebagai negeri pertama yang mempunyai aspirasi ‘negeri hijau’, maka kita (Kerajaan Negeri) galakkan supaya bangunan-bangunan baharu sepenuhnya menjadi bangunan hijau, serta sudah tentu nak diterapkan pada bangunan-bangunan lama juga.

“Dalam apa jua keadaan, kita (Kerajaan Negeri) akan memikirkan bagaimana kita boleh memberikan insentif kepada pemaju dan pengusaha yang berbuat sedemikian,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada pemberita di Dewan Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini pada 8 September 2020.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa insentif-insentif galakan serta garis panduan GBI bagi projek pembinaan bangunan baharu serta perancangan bandar-bandar baharu negeri akan diperluaskan sepenuhnya, seperti di Batu Kawan.

“Sistem seperti GBI, yang mana kita (Kerajaan Negeri) galakkan di kawasan pembangunan baharu, seperti Batu Kawan dan sebagainya.

“Kita galakkan semua bangunan baharu mematuhi (kriteria-kriteria) GBI.

“Dengan adanya undang-undang, apa cara pun mereka (para pemaju dan pemilik bangunan) perlu ada ciri-ciri minimum yang akan kita lihat pencapaian bangunan (supaya) lebih bercirikan hijau,” jelasnya lagi.

Sebelum pada itu, beliau menyertai Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang menyaksikan istiada Majlis Angkat Sumpah dan Melafazkan Ikrar Terimaan Jawatan oleh dua Ahli Majlis baharu, Tan Seng Keat dan Quah Boon Lim.

Ketika berucap, Jagdeep menyatakan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar dengan bangunan-bangunan bertingkat diterapkan ciri-ciri hijau sebagaimana saranan GBI.

Justeru, beliau berharap barisan Ahli Majlis bagi MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dapat mencari jalan untuk merealisasikan misi serta visi Kerajaan Negeri tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING