Interaksi dua hala bantu kerajaan fahami isu rakyat secara lebih terbuka – Ketua Menteri

Admin
f04d3fbd d12c 4d61 b46c cba4ba3f6029

PULAU BETONG – Program Jelajah Ketua Menteri X Belia@Balik Pulau menjadi platform penting bagi mendekati masyarakat setempat serta mendengar sendiri isu dan pandangan rakyat khasnya belia secara langsung.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pendekatan turun padang dan sesi libat urus bersama-sama komuniti bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah dimulakan sejak menjawat jawatan Exco lagi.

Menurut beliau, pendekatan turun padang sedemikian akan diteruskan ke daerah-daerah lain bagi memastikan setiap isu rakyat dapat diteliti secara lebih menyeluruh dan inklusif.

“Program jelajah diadakan bagi meneliti isu-isu di lapangan supaya tindakan lanjut dapat diambil oleh Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.

“Saya telah mulakan ketika menjadi Exco Kerajaan Tempatan sebagai usaha mendekati masyarakat setempat dan melihat sendiri isu di lapangan supaya ia dapat dibawa ke peringkat Kerajaan Negeri mahupun agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Walaupun program ini tidak diadakan setiap tahun, pendekatan turun padang tetap diteruskan kerana ia penting dalam memastikan suara rakyat terus didengari,” katanya ketika berucap pada program berkenaan dekat Dataran Madani, Kampung Perlis di sini pada 10 Mei 2026.

0a6d4f58 b1bd 4bad a8b8 342958a099f8 5fdb5837 4fe7 4c5f 96b8 9127861a75ce d4ae98a1 fbdb 4f07 9191 64a859831169 42d2d605 a7ce 4d72 84c9 6ab6764c4719
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Kawasan Balik Pulau, Gooi Seong Kin; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Edry Faizal Eddy Yusof serta Pegawai Penerangan Daerah Barat Daya, Raja Kamarudin Raja Abdul Rahman.

Antara isu yang dibangkitkan golongan belia tempatan ialah keperluan sebuah dewan tertutup yang lebih selesa dan kondusif bagi kegunaan komuniti setempat.

Difahamkan, kemudahan tersebut dilihat penting dalam menampung pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk program belia, majlis komuniti serta aktiviti melibatkan penduduk sekitar.

“Saya perlu melihat isu ini dalam skop yang lebih meluas kerana kemudahan dewan komuniti amat diperlukan bagi pelbagai aktiviti masyarakat.

“Malah, saya difahamkan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT) telah merancang pembinaan dewan setiap tahun dengan mengenal pasti kampung-kampung yang memerlukan serta memohon peruntukan berkaitan.

“Mungkin selepas ini, pihak berkaitan (PDT Barat Daya) boleh melihat isu ini secara lebih menyeluruh, dan sekiranya ada keperluan, permohonan bajet boleh dipertimbangkan,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan yang dibangkitkan.

b71d008d d856 4446 b593 a0f845690ef2 c27563bb f511 45ed b912 08476b0755b5 5e71706f 63aa 43aa 8c1e bea17ee93f53dea56e59 b235 4fd6 8966 87b15160741e e60be83d ec37 46d1 bd4e a794ecff664e
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menyentuh cabaran semasa berkaitan penyediaan Rumah MutiaraKu yang kini menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat khasnya golongan belia memiliki kediaman sendiri.

Tambah beliau, kerajaan turut berdepan cabaran apabila setiap pembangunan perlu memenuhi kuota 30 peratus rumah mampu milik.

Sehubungan itu, Kon Yeow memberitahu bahawa kaedah sewa beli atau ‘rent-to-own’ dilihat lebih sesuai khususnya dalam membantu golongan belia memiliki rumah pertama.

“Golongan belia yang baru memasuki alam pekerjaan mungkin lebih sesuai menyewa terlebih dahulu sebelum memiliki rumah.

“Kategori rumah seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang mempunyai pendapatan terhad,” tambahnya.

Sementara itu, Zi Sen turut menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan membabitkan penganjuran program-program belia, pendidikan, kesihatan dan juga usaha mewujudkan kompleks belia di daerah Barat Daya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : DARWINA MOHD. DAUD