GEORGE TOWN – Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menghubungi Pengarah Imigresen Negeri Pulau Pinang bagi memohon tindakan segera susulan isu keselamatan dan masalah sosial melibatkan etnik Rohingya di Taman Seri Rambai, Bukit Mertajam yang tular di media sosial.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, isu berkenaan yang tular di media sosial sejak pagi tadi telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.
“Saya telah membuat semakan segera berhubung dakwaan yang tular di media sosial kerana perkara ini amat serius dan boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan penduduk di Taman Seri Rambai,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 26 Oktober 2026.
Menurut beliau, hasil semakan awal bersama-sama pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Seri Rambai Fasa 2, 3 dan 4 mendapati terdapat masalah sosial yang melibatkan etnik Rohingya di kawasan berkenaan.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa dakwaan tular mengenai ‘cubaan serangan fizikal’ oleh kanak-kanak Rohingya terhadap seorang warga emas berusia 67 tahun adalah tidak tepat.
“Berdasarkan pengesahan yang diterima, kejadian itu bukan serangan fizikal, sebaliknya dipercayai melibatkan penggunaan kata-kata kesat oleh kanak-kanak berkenaan terhadap penduduk setempat,” jelas beliau.
Tambah Zi Sen, beliau telah memohon pihak imigresen mengambil tindakan tegas, khususnya terhadap warga asing yang tidak mempunyai permit atau dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa isu berkenaan turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
“YB Steven Sim akan membawa isu masalah sosial dan keselamatan ini secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mana keselesaan dan keselamatan penduduk adalah keutamaan dan kami tidak akan berkompromi,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Zi Sen berkata bahawa pihaknya sebelum ini kerap berkomunikasi dengan ketua komuniti Rohingya di kawasan berkenaan, terutamanya sejak pandemik COVID-19, bagi menguruskan hal kebajikan dan vaksinasi.
Namun, katanya, usaha komunikasi untuk menangani masalah sosial yang timbul kebelakangan ini didapati tidak membuahkan hasil.
Sehubungan itu, beliau turut menegur tindakan sesetengah pemilik premis kediaman yang menyewakan unit rumah mereka kepada kumpulan berkenaan.
“Walaupun pemilik mempunyai hak untuk menyewakan premis mereka, mereka juga wajar mempunyai rasa tanggungjawab.
“Mereka perlu sedar bahawa isu dan masalah sosial ini timbul susulan tindakan menyewakan premis kepada kumpulan berkenaan tanpa kawalan,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa pusat khidmatnya akan terus membuat susulan berhubung perkara itu sehingga penyelesaian konkrit dapat dicapai demi kesejahteraan penduduk setempat.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: LAW SUUN TING