Jalan Khidmat Jalan Tun Dr. Awang ditukar ke laluan sehala

Admin

BATU UBAN – Berkuatkuasa semalam, 13 Julai 2020, sebahagian Jalan Khidmat, Jalan Tun Dr. Awang di sini telah dijadikan laluan sehala bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada puncak waktu persekolahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata, pelaksanaan penukaran aliran lalu lintas sehala berkenaan akan diadakan secara percubaan bagi tempoh tiga bulan.

Menurut beliau, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengadakan beberapa sesi perbincangan mengenai keadaan lalu lintas di kawasan sekeliling Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin iaitu melibatkan persimpangan di antara Jalan Khidmat Jalan Tun Dr. Awang dan Persiaran Bukit Jambul 1.

“Hasil daripada perbincangan bersama-sama pihak SJKC Min Sin dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) sekolah berkenaan dalam usaha mengurangkan kesesakan di hadapan sekolah dan meningkatkan keselamatan para pelajar, Majlis telah bersetuju supaya Jalan Khidmat Jalan Tun Dr. Awang di jadikan jalan sehala.

“Arah aliran sehala ini akan bermula dari simpang tiga Public Bank sehingga ke persimpangan SJKC Min Sin iaitu kira-kira 500 meter,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di tapak semalam.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP dan Jurutera Kanan Lalulintas & Pengangkutan Awam MBPP, Zainuddin Mohamad Shariff.

Selain itu, Kumaresan juga menasihatkan pihak sekolah agar menubuhkan satu pasukan ‘ibu bapa penyayang’ dan mencalonkan warden lalu lintas kepada pihak Majlis untuk dipertimbangkan.

“Warden lalu lintas ini akan memperolehi elaun daripada Majlis dan latihan akan diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal kesesakan di kawasan sekolah.

“Dalam masa sama, orang ramai dinasihati mematuhi arahan papan tanda dan isyarat lalu lintas yang disediakan di tapak,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI