Jalani pemeriksaan kesihatan percuma di Program Jantung Sihat, Hidup Ceria

Admin

PANTAI JEREJAK – Sempena Program ‘Jantung Sihat Hidup Ceria’, orang ramai ditawarkan untuk menjalanI pemeriksaan kesihatan percuma yang akan dikendalikan oleh Hospital Pantai Pulau Pinang.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Pantai Pulau Pinang, Pan Wen Lek dalam satu sidang media berkaitan program tersebut semalam.

Menurut Wen Lek, program tersebut akan mengambil tempat pada 7 September ini bermula jam 7 pagi sehingga 4 petang di Padang Persatuan Penduduk Taman Sri Nibong, Sungai Nibong.

Tambahnya, sejajar dengan slogan mencegah lebih baik dari mengubati program tersebut merupakan satu tanggungjawab korporat sosial (CSR) hospital terbabit kepada komuniti.

“Kita nak galakkan orang ramai supaya menjalankan pemeriksaan kesihatan dalam mencegah penyakit-penyakit seperti diabetes, sakit jantung, darah tinggi dan sebagainya.

“Itu merupakan objektif utama yang kita nak capai dan antara lain yang boleh didapati di program ini termasuklah pemeriksaan Index Jisim Tubuh (BMI), derma darah dan demonstrasi CPR untuk pertolongan cemas,” jelasnya kepada pemberita dalam sidang media tersebut.

Hadir sama, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Nurul Ilfiq Zulkifli; wakil Ahli Parlimen Bayan Baru, Chan Soon Aun; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Nibong Besar, Mohd. Shawal Ahmed dan Pengerusi MPKK Sungai Nibong Pantai Rusli Abdul Rashid.

Mohd. Shawal dalam ucapannya memberitahu dalam menjadikan program tersebut berorienrasikan kekeluargaan pihaknya turut akan mengadakan acara sukaneka dan pertandingan permainan beyblade.

“Kita sasarkan kehadiran kira-kira 1,000 orang untuk memeriahkan acara ini, 500 orang terawal turut berpeluang untuk mendapatkan baju-t percuma.

“Selain itu kita juga ada food truck serta peniaga-peniaga kecil yang akan membuka gerai jualan mereka di situ,” ujarnya lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI