BUKIT TENGAH – Komponen kedua Projek Fasa 2 Pelebaran dan Naik Taraf Jalan dari satu lorong kepada dua lorong dari Jalan Perusahaan hingga ke Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Tok Kangar, Juru, di sini dijangka dibuka kepada trafik mulai 10 Oktober ini.
Komponen itu merangkumi pembinaan jambatan berhampiran Kilang Premium Sound Solutions Sdn. Bhd. yang dilaksanakan bersama dengan pelebaran dan naik taraf jalan daripada satu lorong kepada dua lorong dari Jalan Perusahaan hingga ke Persimpangan Jalan Delima 1/Lorong Delima Jati.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek berkenaan ini mencapai kemajuan sebanyak 93 peratus dan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Sebelum ini, komponen pertama bagi projek Fasa 2 ini adalah pembinaan sebuah lagi jambatan berhampiran Pusat Servis Perodua, Juru yang telah dibuka kepada trafik pada 21 September lalu.
“Sementara itu, baki kerja di lapangan akan diteruskan sehingga projek siap sepenuhnya.

“Malah, seiring dengan kemajuan pelaksanaan projek, pembukaan laluan kepada trafik akan dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan kemudahan yang telah siap dapat digunakan oleh pengguna jalan raya,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke tapak projek berkenaan di sini pagi tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung serta para pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan daerah Seberang Perai Tengah.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, pembukaan laluan secara berperingkat itu dijangka dapat membantu melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan, khususnya di sepanjang jajaran jalan berkenaan yang sedang dinaik taraf.

“Pelaksanaan projek ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kapasiti dan tahap perkhidmatan jalan raya.
“Usaha ini sekali gus dapat menyediakan perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa kepada semua pengguna jalan raya di kawasan berkenaan,” katanya.
Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN