Jamuan amal kumpul dana tabung bencana TYT

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

MANSOR Othman (tengah) bersama Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Datuk Mohd. Yussof Latiff (kanan) dan Presiden Airtropolis Sdn. Bhd., Datuk Abdul Rafique Karim bergambar kenangan selepas sesi bersama media berhubung pengumuman Majlis Jamuan Makan Malam Amal di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (tengah) bersama Presiden
Persatuan Melayu Pulau Pinang, Datuk Mohd.
Yussof Latiff (kanan) dan Presiden Airtropolis
Sdn. Bhd., Datuk Abdul Rafique Karim
bergambar kenangan selepas sesi bersama
media berhubung pengumuman Majlis Jamuan
Makan Malam Amal di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bakal menganjurkan Majlis Jamuan Makan Malam Amal sempena usaha mengumpul dana bagi mengisi Akaun Amanah Tabung Bencana Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang bertempat di Straits Quay Convention Centre, Tanjung Tokong pada 28 Mac 2012 di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman pada satu sesi bersama media berkata, program berkenaan adalah sebagai salah satu tanggungjawab sosial yang dilaksanakan bagi membantu mereka yang ditimpa bencana di negeri ini.

“Ianya bertujuan memberikan bantuan dan bayaran saguhati kepada mangsa-mangsa kejadian bencana alam di seluruh Pulau Pinang dari semasa ke semasa untuk meringankan bebanan yang ditanggung,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, penganjuran majlis hanya dilakukan apabila terdapat keperluan untuk menampung dana sedia ada.

“Tabung sedia ada semakin menguncup apabila Pulau Pinang dilanda tsunami pada tahun 2004 dan juga pembayaran turut diberikan kepada mangsa-mangsa ribut dan ombak besar pada tahun selepasnya.

“Justeru, bagi memastikan Akaun Amanah ini sentiasa mempunyai sejumlah simpanan yang berupaya menampung keperluan mangsa bencana, Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa yang ditubuhkan ini menyeru dan merayu kepada mana-mana individu, pertubuhan, syarikat swasta atau syarikat milik kerajaan untuk turut menyumbang pada majlis tersebut yang akan disempurnakan sendiri oleh Tun Abdul Rahman Abbas,” ujarnya lagi.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pihak urus setia Akaun Amanah Tabung Bencana TYT di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Paras 25, Komtar atau melalui talian 04 – 650 5632 atau 04 – 650 5394. Setiap sumbangan yang diberikan layak untuk menerima pelepasan bayaran cukai.