Jamuan KFC, tunai permintaan penghuni Happy Retirement Homes sempena Tahun Baru Cina

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

 

PINANG TUNGGAL – Menjelang sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, 56 warga emas yang menghuni Happy Retirement Homes dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal diraikan dalam majlis jamuan ringkas, pemberian buah limau dan hamper sumbangan di sini.

Penyelaras Penggerak Komuniti Muda (PEKA) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Adam Adli Abdul Halim memberitahu, makanan segera popular Kentucky Fried Chicken (KFC) yang disediakan secara sederhana tersebut adalah hasrat langsung rata-rata penghuni rumah orang tua berkenaan.

“Sebenarnya, dua tiga program telahpun dianjurkan sebelum ini, cuma, program ini PEKA anjur sempena Tahun Baru Cina.

“Juadah KFC ini adalah permintaan penghuni di sini sendiri, jadi kita datang untuk tunaikan hajat mereka ini,” jelasnya kepada pemberita selepas selesai acara ramah mesra di sini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang juga Pengerusi PEKA; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN (PPK) Pinang Tunggal, Ustaz Muhasdey Mohamad serta Lay Hock Peng selaku Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri turut berucap pada majlis sama.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohamad Shaipol Ismail, anggota-anggota PEKA serta barisan kepemimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Lahar Tiang.

Ustaz Muhasdey dalam ucapannya memberitahu, Islam tidak pernah melarang umatnya melakukan kebaikan, meskipun kepada orang bukan Islam yang begitu melayan baik ke atas umat Islam.

“Datuk Rasulullah S.A.W. bernama Abdul Mutalib dan bapa saudaranya, Abu Talib juga adalah non-Muslim, tapi begitu baik melindungi diri Rasulullah S.A.W..

“Padanlah Islam tidak larang umatnya buat baik kepada non-Muslim yang baik, dan Rasulullah S.A.W. telah tunjuk contoh yang terbaik iaitu Islam sebagai Rahmat Ke Seluruh Alam.

“Maka, inisiatif PEKA anjur program rai warga emas di sini adalah contoh terbaik bahawa Islam ajar buat baik kepada mereka yang baik, tak kira agama atau bangsa,” jelasnya ketika mengupas pengajaran ayat 8 Surah Al-Mumtahanah.