Jangan layan panggilan curiga, elak risiko jadi mangsa penipuan siber – Exco

Admin
YEOH Soon Hin berucap dalam majlis berkaitan pada pagi tadi.

PAYA TERUBONG – Selidik dan jangan melayan panggilan serta mesej ringkas yang mencurigakan jika tidak mahu menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian seperti ‘Macau Scam’, ‘Love Scam’ atau e-belian.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin menyampaikan nasihat itu semasa merasmikan Program ‘Jangan Terpedaya, Lindungi Diri Anda Daripada Scammer’ di perkarangan Kontena Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dekat Lintang Paya Terubong 3 pada 4 September 2022.

“Jenayah siber iaitu ‘internet scam’ merupakan ancaman serius kepada masyarakat kerana penipuan ini mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit yang merupakan hasil titik peluh mangsa.

“Di sini, saya ingin menasihatkan orang ramai, sekiranya menerima panggilan atau mesej yang pelik dan mencurigakan, kita harus membuat penyelidikan dahulu, siasat dan bertanya sebanyak mungkin mengenai butiran berkenaan dan jangan mendedahkan maklumat peribadi kita,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong dalam majlis berkaitan di sini.

YEOH Soon Hin (tengah, depan) merakamkan gambar bersama-sama sekalian peserta program berkaitan di sini tadi.

Di samping itu, Soon Hin turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Komersial dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Asisten Supritenden (ASP) R. Devan; ASP Danny Anak John Jubang (Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Timur Laut); wakil Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK); Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Paya Terubong dan MPKK tempatan turut berganding bahu dalam menjayakan program pemerkasaan komuniti pada pagi ini.

YEOH Soon Hin (kiri) menyampaikan cenderamata kepada ASP R. Devan sebagai tanda penghargaan atas kejayaan menganjurkan program berkaitan di sini tadi.
INSPEKTOR Iszwan Harris Rozali

Pada majlis sama, Pegawai Penyiasat Komersial IPD Timur Laut, Inspektor Iszwan Harris Rozali menyampaikan ceramah dan penjelasan mengenai modus operandi jenayah siber berkaitan sindiket ‘Macau Scam’, ‘Love Scam’ dan e-belian kepada hampir 100 komuniti lokal di sini.

Menutup acara tersebut, Devan pula berkongsi dua sindiket penipuan dalam talian terbaru iaitu skim carian kerja dan penyamaran sebagai kenalan lama.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB