“Jangan tangguh lagi pembukaan PPV Industri di SCCC” – Exco

ZAIRIL Khir Johari

GEORGE TOWN – Pulau Pinang berharap pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri di Sunway Carnival Convention Centre (SCCC) dekat Seberang Jaya yang membabitkan kira-kira 30,000 pekerja sektor pembinaan, tidak ditangguhkan lagi oleh Kerajaan Persekutuan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata demikian selepas mengadakan lawatan ringkas ke PPV Industri untuk Sektor Pengangkutan Pelabuhan Pulau Pinang di Kompleks Terminal Perkapalan Dermaga Swettenham di sini pada 7 Ogos 2021.

“Proses pemberian vaksin ini perlu dipercepatkan lagi (kerana) kita lihat kes (harian positif COVID-19) semakin meningkat, sekali gus menunjukkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berkesan.

“Jadi, saya harap Kerajaan Pusat ambil perhatian yang serius untuk meningkatkan (kapasiti) vaksinasi negara khususnya untuk sektor-sektor keperluan seperti sektor pembinaan.

“Malangnya PPV Industri untuk sektor pembinaan di tapak cadangan Sunway Carnival (Convention Centre) melibatkan kira-kira 30,000 orang, yang sepatutnya mula beroperasi pada minggu lepas, masih ditunda.

“Saya harap tiada langkah penangguhan lagi selepas ini,” jelasnya mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam sidang media  menjelang tengah hari tadi.

Sebelum ini, Zairil melalui kenyataan media bertarikh 5 Ogos menzahirkan rasa kesal apabila pengoperasian PPV Industri di SCCC bagi menjayakan Program Construction Industry Vaccination (CIVac) ditangguhkan.

“Keselamatan rakyat Pulau Pinang secara amnya dan juga para pekerja sektor pembinaan secara khusus perlu diberi keutamaan dan tidak wajar diabaikan.

“Umum mengetahui bahawa industri pembinaan merupakan salah satu sektor yang kritikal, bukan sahaja dari segi penularan virus malah juga dari segi potensi pemulihan ekonomi kerana sektor ini merupakan penyumbang ekonomi utama yang bakal menjana peluang pekerjaan dan kesan limpahan (spillover effects) yang positif,” katanya sebagai dipetik dalam kenyataan media tersebut.

SUASANA ruang menunggu di PPV Industri dekat Kompleks Terminal Perkapalan Dermaga Swettenham, George Town menjelang tengah hari tadi.

Terdahulu, Zairil meluangkan masa melawat ke Kompleks Terminal Perkapalan Dermaga Swettenham.

Difahamkan, PPV di sini mula beroperasi pada 3 Ogos lepas sehingga 13 September depan, dengan kapasiti pemberian suntikan harian sejumlah 258 dos kepada 5,434 petugas barisan hadapan di Pelabuhan Pulau Pinang.

Mula beroperasi jam 8:30 pagi sehingga 2:00 petang, PPV kendalian Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) tersebut turut mendapat kerjasama secara langsung daripada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).

Bercakap pada sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif SPPP, V. Sasedharan memberitahu bahawa antara petugas barisan hadapan yang terlibat dalam program vaksinasi di sini adalah daripada SPPP, PPSB, petugas kesihatan, anggota Jabatan Laut Wilayah Utara dan 40 Rejimen Pakar Pelabuhan RAJD Askar Wataniah.

“Pemberian vaksin melibatkan pekerja warganegara dalam sektor logistik, saya tidak pasti sekiranya ada melibatkan pekerja asing daripada firma perkapalan.

“Sudah tentu pekerja warganegara atau pekerja asing daripada firma perkapalan juga mesti memohon menerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera, untuk mendapatkan janji temu vaksin termasuk di sini,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : LAW SUUN TING