GEORGE TOWN – Pagi yang cerah di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town hari ini dihiasi dengan kelibat kayuhan basikal yang bukan sekadar untuk kesihatan, malah membawa misi memartabatkan sejarah tempatan dan negara.
Program Kayuhan Jejak Seniman Agung: Rumah Kelahiran Tan Sri P. Ramlee menyaksikan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib yang meluangkan masa menyantuni tapak-tapak bersejarah di sekitar bandar raya ini.
Seawal 7.30 pagi, Tun Ramli, ditemani Setiausaha Sulit kepada TYT, Muhamad Azrai Mohamad Zaini, bersama empat pegawai pengiring keselamatan lain, mengayuh basikal dari kediaman rasmi Seri Mutiara.
Sebelum memulakan kayuhan sejauh 14.1 kilometer (km), beliau bersama-sama delegasi pengiring turut menyertai sesi regangan badan bagi memastikan kecergasan fizikal berada pada tahap optimum sepanjang perjalanan merentasi nadi bandar raya.

Rombongan kayuhan tersebut sempat berhenti seketika untuk berehat di Taman Arkeologi Sia Boey pada jam 8.00 pagi, iaitu sebuah lokasi yang terkenal dengan nilai arkeologi dan sejarahnya yang tersendiri, sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi utama.
Kemuncak program, ketibaan Tun Ramli di Rumah Kelahiran Tan Sri P. Ramlee dan Galeri P. Ramlee pada jam 8.30 pagi.
Kehadiran beliau disambut mesra oleh Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM), Zaidin Mohd. Noor, yang kemudian memberikan penerangan lanjut mengenai usaha pemuliharaan warisan seniman negara oleh pihak ANM.


Dalam sidang media selepas itu, Zaidin memaklumkan bahawa penyertaan Tun Ramli dalam Program Kayuhan Jejak Seniman Agung anjuran ANM menambahkan seri serta makna kepada sambutan ulang tahun ke-100 Rumah Kelahiran P. Ramlee di sini.
“Pada tahun ini (2026), Rumah Kelahiran P. Ramlee ini genap berusia 100 tahun, iaitu sejak dibina pada tahun 1926.
“Ini bermakna rumah ini telah melalui hampir satu abad sejarah.
“Sempena sambutan 100 tahun rumah berkenaan, pelbagai program dirancang bukan sahaja berkaitan dengan rumah tersebut, tetapi juga mengenai tokoh yang pernah menghuni rumah ini, iaitu P. Ramlee,” jelasnya sambil memaklumkan bahawa senarai acara sambutan boleh diakses melalui laman rasmi ANM.
Beliau turut menambah bahawa saban tahun, Galeri P. Ramlee dan Rumah Kelahiran P. Ramlee di sini secara purata menerima kira-kira 100,000 pengunjung tempatan dan pelancong asing, khususnya dari rantau Asia Tenggara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan status projek pembangunan Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi susulan pengumuman Kerajaan Negeri sebelum ini mengenai penyediaan sebidang tanah di Vision Park, Bertam bagi memperingati bekas Perdana Menteri kelima Malaysia itu.
“Secara rasmi, terdapat lebih daripada 10,000 bahan yang kini dalam proses penyenaraian antara Arkib Negara Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri.
“Berdasarkan pengalaman penubuhan memorial tokoh-tokoh seperti Tun Abdul Razak, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, tempoh pelaksanaan lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.
“InsyaAllah, pihak ANM akan berusaha mendapatkan peruntukan yang besar dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memandangkan tanah telah disediakan oleh Kerajaan Negeri,” jelasnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN