JPP MBPP berhasrat pergiat usaha upcyle dan kitar semula

MESKIPUN ramai dalam kalangan kita sering mendengar istilah kitar semula, namun tidak ramai yang mengetahui usaha progresif yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan terutamanya dalam menghasilkan sebuah taman awam yang indah, hijau dan dengan mengguna pakai bahan-bahan terpakai.

 

Terbaru, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memasang beberapa hasil kreativiti progresif menggunakan bahan-bahan terpakai seperti tayar lama untuk menghasilkan produk ‘upcycle’ yang menarik di Taman Jajar Sungai Ara.

 

Menurut Timbalan Pengarah JPP, Xavier Sebastian, matlamat utama JPP adalah untuk mengitar semula barangan yang dibuang dengan menghasilkan rekaan unik dan menarik.

 

“Kami mempunyai Unit Tindakan Khas yang terlibat dalam kegiatan ‘upcycling’, kitar semula dan pertanian bandar.

 

“Bagi kegiatan kitar semula dan ‘upcycle’, semua rekaan produk adalah bahan kitar semula seperti tayar lama, produk plastik, kayu, paip PVC, tali, tin dan apa sahaja yang boleh diguna semula.

 

“Tambahan pula, Datuk Bandar (Dato’ Ar. Yew Tung Seang) dan Setiausaha Bandaraya (Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali) sering memberi dorongan untuk kami meneruskan usaha ini,” ujarnya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp pagi ini.

 

XAVIER Sebastian menunjukkan salah satu rekaan produk upcycle yang unik dan menarik.

Jelas Xavier lagi, dorongan turut diterima dalam kalangan Ahli Majlis serta Jabatan-jabatan lain dalam pihak berkuasa tempatan tersebut.

 

“JPP amat berterima kasih kepada Ahli Majlis, Tan Seng Keat dan J. Francis kerana telah menyumbang peralatan pertukangan dalam memudahkan dan mempercepatkan usaha kami ini.

 

“Saya juga gembira apabila JPP mempunyai kakitangan yang bukan sahaja berbakat tetapi juga berkebolehan dan komited meskipun terpaksa menggunakan masa di luar waktu kerja rasmi untuk menghasilkan rekaan yang menarik.

 

“(Dan) pastinya kami meletakkan sasaran untuk memperluaskan usaha kami ini dengan melibatkan komuniti setempat, pihak sekolah dan juga badan bukan kerajaan (NGO) pada masa hadapan,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua pengguna taman awam agar sama-sama menjaga dan memelihara harta awam untuk kegunaan bersama.

 

“Tindakan merosakkan produk ‘upcycle’ adalah tindakan yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab.

 

“Oleh itu, MBPP menyeru agar orang awam khasnya pengguna taman awam terus memelihara harta awam dan membantu menyokong usaha kami ke arah pengindahan taman awam.

 

“Usaha ini juga sekaligus menyahut seruan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah sebuah negeri hijau dengan mengurangkan pembuangan sampah ke tapak pelupusan dan menggalakkan amalan kitar semula,” serunya.

 

   

       

          

 

Gambar : Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, MBPP.