Kajian kesan dan keperluan lapangan terbang, Kerajaan Negeri buka RFP September ini – Kon Yeow

Admin

BATU UBAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membuka Request For Proposal (RFP) pada September ini bagi menjalankan kajian menyeluruh berhubung kesan serta keperluan lapangan terbang di negeri ini dan juga negeri berkaitan.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo Global Business Services Focus Group (GFG) di sini hari ini.

Beliau berkata, kajian tersebut adalah bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keperluan kemudahan lapangan terbang di masa hadapan.

“Kita ingin melihat kepada keperluan termasuk kemudahan serta prasarana lapangan terbang di bahagian utara (Malaysia). Melaluinya, kita boleh melihat kemungkinan, sama ada Pulau Pinang memerlukan lapangan terbang lain ataupun mungkin juga tidak perlu.

“Kajian ini juga akan mengambil kira kesan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan juga secara khususnya melihat kepada keperluan lapangan terbang baru buat negeri,” jelas beliau.

Hadir sama, Pengarah investPenang (iP) merangkap Penasihat Pelaburan kepada Ketua Menteri, Dato’ Seri Lee Kah Choon dan Ketua Pegawai Eksekutif iP, Dato’ Loo Lee Lian.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi sekali lagi menyatakan pendirian bahawa Kerajaan Negeri tetap bertekad untuk menfokuskan kepada pelan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

“Pendirian Kerajaan Negeri, kita mahu fokus kepada pembesaran PIA, dan berharap kerja (naik taraf) ini dapat mula serta disempurnakan dalam jangka masa ditetapkan.

“Kerja-kerja pelebaran ini adalah sangat mendesak… semakin hari semakin mencabar kerana ia (PIA) telah melepasi kapasitinya.

“Justeru, Kerajaan Negeri amat berharap pihak Kementerian, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dapat menyegerakan projek (pelebaran) ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Pada masa ini, tambah Kon Yeow, kapasiti PIA hanya untuk 6.5 juta penumpang setahun, tetapi ketibaan penumpang telah melepasi 7.8 juta tahun lalu.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut ditanya sama ada negeri telah mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan berhubung pembangunan KXP sebagaimana dicadangkan sebelum ini.

Kon Yeow sebagai respons memberitahu bahawa sehingga kini, belum ada sebarang tindakan lanjut, namun percaya bahawa ia masih dalam peringkat persiapan awal.

“Saya percaya ia masih di peringkat persiapan awal memandangkan tidak ada kertas kerja berkaitan KXP yang dibentangkan pada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang berlangsung Isnin lalu,” katanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD