Kampung Terus juara Anugerah MPKK Terbaik 2020

Admin
MPKK Kampung Terus bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin memegang cek replika RM30,000 sebagai juara Anugerah MPKK Terbaik Pulau Pinang 2020 di sini pada malam tadi.

GEORGE TOWN – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terus muncul sebagai juara Anugerah MPKK Terbaik Negeri Pulau Pinang Tahun 2020, dengan membawa pulang geran bernilai RM30,000.

Malah, naib juara adalah MPKK Kampung Melayu dengan membawa pulang geran RM10,000, diikuti MPKK Pokok Sena sebagai tempat ketiga (RM5,000).

Tempat keempat pula ada MPKK Simpang Empat, manakala, MPKK Sungai Duri di tempat kelima. Masing-masing membawa pulang saguhati RM500.

KETUA Menteri ketika menyampaikan ucapan perasmian Anugerah MPKK Terbaik Negeri Pulau Pinang Tahun 2020.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti menyempurnakan majlis penyampaian hadiah berupa cek replika serta sijil penyertaan kepada barisan pemenang.

Kon Yeow semasa berucap antara lain menyatakan bahawa pentadbirannya komited memperkasakan peranan 375 MPKK negeri dengan memperuntukkan RM9 juta bagi pembayaran elaun bagi tahun Belanjawan 2021.

“Saya sedar bahawa MPKK juga merupakan anggota barisan hadapan bagi mewakili Kerajaan Negeri berhadapan dengan masalah rakyat.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk menyediakan peruntukan bayaran elaun MPKK setiap tahun,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah, Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis anugerah yang dilangsungkan di sini pada 17 Disember 2020.

Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis tersebut.

BAHARUDDIN Abdullah

Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Terus, Baharuddin Abdullah, 47, yang ditemui kemudian merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas penganjuran majlis anugerah tersebut.

“Ini merupakan kejayaan bersama kedua bagi MPKK Kampung Terus, selepas kami mendapat pengiktirafan sulung iaitu Anugerah Malaysia Landscape Architecture Award (MLAA) 2019 di peringkat Kebangsaan,” ujarnya.

Menurut Baharuddin, MPKK Kampung Terus baru dua tahun ditubuhkan, dan sama sekali tidak menyangka akan dipilih sebagai juara Anugerah MPKK Terbaik Pulau Pinang bagi tahun 2020.

Difahamkan, Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 2018/2019 merupakan antara acara yang melonjak nama MPKK di peringkat kebangsaan sebelum ini.

“Walaupun semasa COVID-19, kita (MPKK Kampung Terus) menganjurkan ‘Santai Pagi Terus’ iaitu pada setiap pagi Ahad untuk komuniti lokal berjalan merentasi kawasan bendang sepanjang 5 hingga 10 kilometer, dengan disediakan sarapan percuma.

“Alhamdulillah, dengan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ada, kita berjaya memperkasa komuniti kampung tidak kira orang muda atau warga emas untuk menyertai program ini.

“Dengan geran RM30,000, MPKK berharap program memperkasa komuniti kampung, termasuk mengangkat produk-produk ekonomi lokal, boleh dilaksanakan pada tahun depan (2021) seperti yang dirancang,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN