Karnival Rakyat DUN Air Itam meriah, Puma F.C. juara

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar: ALISSALA THIAN

AIR ITAM– Pasukan Puma F.C. mengungguli kejohanan bola sepak tujuh sebelah kalah mati Piala Y.B. Ramkarpal Singh dan Y.B. Wong Hon Wai selepas berjaya menundukkan empat pasukan lain di sini baru-baru ini.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan Puma F.C. membawa pulang sebuah piala, pingat dan wang tunai.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh ketika ditemui berkata, kejohanan tersebut adalah merupakan sebahagian daripada aktiviti Karnival Rakyat anjuran bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Masjid Negeri.

“Saya harap pada masa-masa akan datang, orang ramai dapat memberi sokongan terhadap program-program kemasyarakatan sebegini demi menjalin hubungan yang lebih akrab antara pemimpin tempatan dan masyarakat setempat.

“Malah, saya amat teruja dengan jumlah penyertaan dalam Karnival Rakyat kali ini dan berhasrat untuk menjadikan ia acara tahunan di sini,” katanya yang turut menunjukkan aksi bermain bola sepak dalam kejohanan berkaitan.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Harvinder Singh, Joseph Ng Soon Siang, Dr. Tan Kim Hooi dan Pengerusi JKKK Jalan Masjid Negeri, Mohamed Farook Ismail.

Selain kejohanan bola sepak, turut diadakan, sesi pendaftaran program-program Emas Kerajaan Negeri, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan golongan kurang upaya (OKU), permainan kanak – kanak  dan pameran membabitkan agensi-agensi kerajaan.

Pada masa sama, penyerahan bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar-pelajar terpilih dan sumbangan makanan serta minuman kepada golongan kurang berkemampuan terpilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam turut disempurnakan Ramkarpal