JAWI – Kawasan lapang seluas 3.607 ekar di Lorong Belatuk 3, Taman Belatuk, di sini, bakal dinaik taraf sebagai Taman Madani yang lebih berkualiti, selamat dan inklusif, termasuk dilengkapi kemudahan skate park untuk golongan belia.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, projek berkenaan bertujuan meningkatkan kualiti kemudahan rekreasi serta menyediakan ruang riadah yang lebih selesa dan bermanfaat kepada penduduk setempat.
Menurutnya, kawasan tersebut melibatkan dua lot iaitu Lot 1685 dan Lot 2178 yang telah diwartakan sebagai kawasan lapang, manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bertindak sebagai agensi pelaksana dan penyelia projek.
“Di kawasan ini telah tersedia pelbagai kemudahan seperti alat permainan bersepadu dan individu, alat senaman, laluan pejalan kaki, wakaf serta dataran untuk aktiviti riadah dan senaman pagi.
“Turut disediakan peralatan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya pada sidang media berkaitan kerja-kerja menaik taraf landskap dan lain-lain kerja berkaitan di kawasan lapang Lorong Belatuk 3, Taman Belatuk, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Majlis MBSP, Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai; Pengarah Jabatan Landskap MBSP, Shaqhrony Md. Yusoff@Jamaludin serta Penolong Pengarah Kanan Jabatan Landskap MBSP, Siti Fatimah Ismail.
Tambah Mooi Lye, platform dataran yang dibina hasil permintaan penduduk sekitar satu hingga dua tahun lalu kini digunakan secara aktif oleh penduduk Taman Belatuk dan kawasan sekitarnya, khususnya pada waktu pagi dan malam.
“Melalui projek naik taraf ini, kita mahu menambah kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat setempat, termasuk menyediakan skate park yang dicadangkan hasil sesi libat urus bersama komuniti belia.
“Apabila siap kelak, kemudahan ini berpotensi menjadi antara kemudahan skate park pertama di kawasan Seberang Perai Selatan,” katanya.
Menurutnya, sesi libat urus bersama wakil penduduk dan Ahli Majlis turut diadakan oleh MBSP melalui Jabatan Landskap bagi mengenal pasti keperluan serta kemudahan yang bersesuaian dengan kehendak komuniti.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan reka bentuk dan komponen yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan penduduk, selain menjadikan kawasan lapang berkenaan lebih aktif dan bermanfaat.
“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan ruang yang selamat, selesa, inklusif dan aktif untuk semua peringkat umur, daripada kanak-kanak, belia, golongan dewasa, warga emas hinggalah komuniti OKU.
“Pada masa sama, kita mahu memastikan kawasan lapang yang telah diwartakan tidak terbiar tanpa dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan mempunyai nilai kontrak RM467,896 dan dilaksanakan oleh Insa Kirana Enterprise.
Kerja-kerja projek bermula selepas tarikh milik tapak pada 5 Ogos 2026 dan dijadualkan mengambil masa 24 minggu, dengan tarikh siap ditetapkan pada 19 Januari 2027.
Bagaimanapun, beliau berharap kerja-kerja berkenaan dapat disiapkan lebih awal sekiranya keadaan mengizinkan, namun pelaksanaan projek turut bergantung kepada faktor cuaca.
Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan di bawah Program Taman Madani (BP01) dengan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi setiap Taman Madani.
“Dalam pentadbiran MBSP terdapat tiga Taman Madani, manakala tiga lagi berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), menjadikan keseluruhan enam lokasi di negeri ini.
“Antara lokasi lain yang terlibat termasuk Taman Pauh Jaya serta Taman Kelisa Emas di Seberang Jaya, dengan kerja-kerja dilaksanakan secara berperingkat dan serentak di beberapa lokasi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Beliau berkata, pemantauan di tapak akan terus dilaksanakan bagi memastikan projek yang menerima peruntukan berkenaan berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
Katanya, arahan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga jelas supaya setiap peruntukan yang disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dimanfaatkan sepenuhnya dan projek dilaksanakan dengan sempurna.
“PBT mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap kawasan lapang yang telah diwartakan dijaga dan dimanfaatkan sebaiknya.
“Namun, pelaksanaan kerja-kerja naik taraf sudah tentu bergantung kepada kemampuan serta peruntukan kewangan yang tersedia.
“Kita mahu setiap kawasan lapang menjadi ruang rekreasi komuniti yang berkualiti, aktif, selamat dan mesra kepada penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya bersama-sama menjaga kemudahan awam yang disediakan, termasuk aspek kebersihan dan keselamatan.
“Kemudahan ini adalah untuk kegunaan bersama. Justeru, kebersihan, keselamatan dan penjagaannya bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, tetapi juga tanggungjawab masyarakat.
“Jika semua pihak memainkan peranan, kemudahan yang dibangunkan ini bukan sahaja dapat digunakan dengan baik, malah mampu memberi manfaat untuk tempoh yang lebih panjang,” katanya.
Sementara itu, Siti Fatimah memaklumkan bahawa antara skop utama projek berkenaan merangkumi kerja-kerja awalan, penanaman rumput dan penambakan tanah, selain pembinaan skate park, laluan pejalan kaki serta laluan penyelenggaraan.
“Projek ini turut melibatkan pembinaan entrance statement, struktur bangku cast in situ, struktur bollard serta penghadang motosikal yang mematuhi prinsip Reka Bentuk Sejagat (Universal Design).
“Selain itu, pemasangan swing gate dan pembinaan dua dataran kawasan permainan turut termasuk dalam skop kerja, manakala kerja-kerja merobohkan struktur sedia ada serta pembersihan kawasan turut dilaksanakan bagi memastikan tapak berada dalam keadaan sesuai untuk pembangunan kemudahan baharu,” jelasnya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut dijangka dapat meningkatkan kualiti, fungsi dan tahap keselesaan kawasan lapang Taman Belatuk sebagai ruang rekreasi komuniti yang lebih kondusif, selamat dan inklusif.
“Kemudahan yang disediakan juga diharap dapat menggalakkan aktiviti fizikal, amalan gaya hidup sihat serta interaksi sosial dalam kalangan penduduk setempat.
“Usaha menaik taraf kawasan lapang berkenaan selaras dengan komitmen MBSP dalam menyediakan ruang awam dan kawasan rekreasi yang berkualiti, mudah diakses serta dapat dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Seberang Perai.
“MBSP berharap projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan seterusnya memberi manfaat kepada komuniti Taman Belatuk serta penduduk di kawasan sekitarnya,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI