Kebenaran kerja pembinaan bangunan komersial dan kediaman bertanah dalam tempoh 24 jam

GEORGE TOWN – Kebenaran Memulakan Kerja Pembinaan melibatkan bangunan komersial dan kediaman bertanah di kawasan pulau kini boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam, menurut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

SONY DSC

Pengarah Kawalan Bangunan MBPP, Rizuwan Salleh berkata, kebenaran tersebut merupakan inisiatif kepada Pakej Stimulasi Rangsangan Ekonomi dalam sektor pembinaan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kebenaran Memulakan Kerja Pembinaan dalam tempoh 24 jam (E-COW) diberikan kepada empat kategori berikut:

i) Pembinaan sebuah kediaman bertanah yang baharu (rumah sesebuah/rumah brkembar/rumah teres)
ii) Skim perumahan yang tidak melebihi empat unit secara keseluruhan
iii) Pindaan dan tambahan ke atas kediaman yang tidak melebihi 1,500kp (kaki persegi) atau 50 peratus daripada ruang lantai sedia ada.
iv) Pengubahsuaian ruang dalaman sahaja bagi bangunan komersial yang sedia ada.

“Walau bagaimanapun, tawaran-tawaran yang disyaratkan perlu dijelaskan sebelum Pelan Bangunan yang diluluskan dilepaskan,” ujarnya pada sidang media bersama-sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Dato’ Addnan Mohd. Razali dan Ahli-Ahli Majlis MBPP.

Dalam perkembangan berasingan, Tung Seang memaklumkan bahawa Request For Ideas (RFI) untuk mengoptimumkan kegunaan ruang pasar yang dibuka baru-baru ini, kini telah dilanjutkan sehingga 15 September depan.

Jelasnya, MBPP mengalu-alukan sebarang idea dan cadangan bagi mempelbagaikan kegunaan ruang 28 pasar kelolaan Majlis selepas waktu operasi pasar.

“Kita mengalu-alukan sebarang idea dan kreativiti umum dalam menjayakan Hasrat ini, sebarang pandangan dan idea boleh disalurkan melalui e-mel kepada [email protected] atau di talian 04-263 8818.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG