Kelajuan WiFi Percuma kini lima kali ganda

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Lambakan trafik membabitkan 20,000 pengguna Penang Free Wifi (WiFi Percuma Pulau Pinang) pada satusatu masa hingga mengakibatkan kepantasan jalur lebar ke internet (backhaul bandwidth) kian lembab kebelakangan ini mendorong Kerajaan Negeri menaiktaraf kemudahan tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kira-kira 600,000 pengguna berdaftar di negeri ini kini boleh menikmati kemudahan WiFi dengan kelajuan internet ditingkatkan hingga lima kali ganda berbanding dahulu.

“Dengan peningkatan lima kali ganda dalam backhaul bandwidth dari 75Mbps (Megabits sesaat) kepada 375Mbps, pengguna perkhidmatan WiFi percuma sekarang akan dapat menikmati kelajuan yang lebih cepat daripada 1Mbps berbanding 512kbps (kilobits sesaat) sebelum ini,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan), Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri), Lau Keng Ee (ADUN Pengkalan Kota), Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong) dan Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjung).

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, penarafan kepantasan jalur lebar ke internet yang ditingkatkan kini adalah menyamai kadar 500 peratus berbanding sebelum ini.

Sebelum itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Perniagaan REDtone International Bhd., Shaifubahrim Shah selaku pengendali perkhidmatan sejak enam tahun lepas turut menjelaskan punca perkhidmatan WiFi tersebut yang diakui kurang memuaskan pengguna di negeri ini.

Menurutnya, kepantasan jalur lebar ke internet paling sesak pada sekitar jam 11 pagi hingga 10 malam, disebabkan menerima lambakan lebih 20,000 pengguna pada satu-satu masa.

Difahamkan, Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 secara berperingkat membangunkan kira-kira 1,550 ‘hotspots’ WiFi Percuma Pulau Pinang meliputi kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

Kini, Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak RM25,000 lagi atau 19.3 peratus tiap-tiap bulan, menjadikan kos pembiayaan bulanan berjumlah RM154,200 berbanding RM129,200 sebelum ini demi memastikan mutu perkhidmatan WiFi Percuma Pulau Pinang lebih memberi manfaat untuk rakyat di negeri ini.