Kembali bebas jangkitan COVID-19 selepas hampir ‘ditidurkan’

SEHINGGA 25 Ogos lalu, kes keseluruhan jangkitan virus COVID-19 yang dilaporkan di negara ini telah mencecah 1,616,244 kes dengan sebanyak 75,774 kes telah direkodkan di negeri Pulau Pinang.

Jumlah tersebut menunjukkan bahawa kira-kira 4.2 peratus daripada 1.783 juta jumlah populasi penduduk di negeri Pulau Pinang telah dijangkiti virus berkenaan sejak pandemik COVID-19 melanda pada awal tahun 2020.

MOHD. PAUZI MD TAHIR, 63, merupakan antara individu yang pernah disahkan positif COVID-19 dan hampir ditidurkan ekoran mengalami kekurangan oksigen di dalam badan.

Ketika dihubungi Buletin Mutiara, beliau yang merupakan seorang pesara kerajaan tidak lokek untuk berkongsi pengalaman beliau dalam perjuangan melawan virus COVID-19 sebagai pengajaran buat semua.

Menurut Mohd. Pauzi, beliau disahkan positif COVID-19 pada 29 Mei 2021 sebelum diarahkan menjalani rawatan di Hospital Kulim, Kedah pada 1 Jun kerana telah didiagnosis sebagai pesakit tahap empat.

“Selepas menerima keputusan yang mengesahkan bahawa saya positif COVID-19 daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya dapat rasakan dunia ini seolah-olah gelap-gelita seketika.

“Lebih membimbangkan apabila isteri dan dua anak lelaki saya turut disahkan positif tetapi mereka tidak mengalami simptom, malah boleh dikatakan langsung tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Oleh itu, semua ahli keluarga saya hanya diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama sepuluh hari dan mereka akhirnya kembali pulih seperti biasa selepas beberapa hari.

“Namun begitu, keadaan saya agak berbeza kerana saya mengalami kesukaran untuk bernafas dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 13 hari,” ujar Mohd. Pauzi kepada Buletin Mutiara semasa wawancara khas melalui panggilan telefon pada 25 Ogos lalu.

Mohd. Pauzi Md Tahir terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan selama dua bulan ketika menjalani kuarantin di rumah.

Tambahnya lagi, keadaan yang agak kritikal ketika itu menyebabkan doktor meminta izin untuk beliau ‘ditidurkan’ untuk tujuan memberikan bantuan pernafasan.

“Doktor minta izin untuk saya ‘ditidurkan’ tetapi saya menolak dengan cara baik dan memilih untuk melawan virus COVID-19 ini dalam keadaan sedar.

“(Dan) selepas 13 hari menjalani rawatan di hospital, syukur alhamdulillah… keadaan bertambah baik, dan saya dibenarkan pulang untuk menjalani kuarantin di rumah sahaja.

“Walau bagaimanapun, saya masih lagi mengalami kesukaran untuk bernafas yang membuatkan badan saya berasa mudah letih dan sering hilang selera makan.

“Justeru, anak-anak saya mengambil keputusan membeli tiga unit tangki oksigen untuk saya gunakannya di rumah,” jelasnya lagi.

Mohd. Pauzi berkata, selepas menjalani kuarantin di rumah dengan menggunakan alat bantuan pernafasan selama kira-kira dua bulan, akhirnya beliau kini berjaya pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus COVID-19.

“Disebabkan jangkitan virus ini, berat badan saya telah turun sebanyak 10 kilogram (kg) iaitu daripada 71kg sebelumnya kepada 61kg kini.

“Soal berat badan bukanlah perkara serius kerana apa yang paling penting adalah saya masih lagi bernafas dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa,” ujarnya penuh syukur.

Menurut Mohd. Pauzi, beliau kini sedang menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 tetapi mungkin perlu mengambil masa kira-kira tiga bulan.

“Saya difahamkan, mereka yang sembuh daripada jangkitan COVID-19 perlu menunggu kira-kira tiga bulan sebelum mengambil suntikan vaksin bagi membolehkan badan membentuk imuniti dan antibodi yang mencukupi sebagai tindak balas terhadap virus,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar mengambil serius mengenai COVID-19 dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Jangkitan virus COVID-19 ini adalah perkara yang nyata dan sangat menyakitkan. Oleh itu, kita perlu sentiasa mamatuhi SOP bagi mengelakkan virus ini menular dalam kalangan masyarakat,” tegasnya.

Turut berkongsi pengalaman ialah ABD RAHIM DARUS, 60, yang menyatakan bahawa beliau turut disahkan positif COVID-19 selepas menjadi kontak rapat kepada seorang rakan yang disahkan positif sebelum itu.

Walau bagaimanapun kata Abd Rahim, beliau bernasib baik kerana telah disahkan positif COVID-19 selepas beberapa hari menerima suntikan vaksin dos kedua pada awal Julai lalu.

Abd Rahim Darus.

Oleh itu, beliau yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID -19 (PKRC) dekat Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi tidak mengalami simptom yang serius selain batuk dan hilang selera makan.

“Apabila rakan baik pakcik disahkan positif, pakcik dan ahli keluarga juga diminta melakukan ujian saringan oleh pihak KKM dan didapati positif dan diarahkan menjalani kuarantin di PKRC Jawi selama enam hari.

“Selain pakcik, isteri dan lima anak juga disahkan postif tetapi mereka hanya perlu menjalani kuarantin di rumah sambil dipantau rapi oleh pihak KKM kerana mereka hanya demam biasa selama dua hari,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi.

“Syukur pakcik dan isteri telah menerima dua dos lengkap vaksin dan keadaan ini mungkin menyebabkan kami tidak mengalami gejala yang serius seperti sesak nafas dan demam teruk,” ujarnya lagi.

Justeru, Abd Rahim yang menetap di Simpang Empat Permatang Buluh dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) menasihati penduduk di negeri ini supaya mematuhi SOP untuk mengelakkan dijangkiti virus COVID-19 yang kini semakin berleluasa di negeri ini.

“Nasihat pakcik kepada masyarakat di luar sana agar sentiasa mematuhi SOP kerana virusCOVID-19 ini bukan perkara main-main dan setiap orang berisiko untuk dijangkiti.

“Pakcik juga sebelum ini jenis ‘ketegaq’ (degil) tetapi selepas disahkan positif, kini pakcik lebih berhati-hati terutamanya apabila melakukan urusan di luar rumah.

“Selain itu, pakcik juga nasihatkan orang ramai supaya mengambil suntikan vaksin supaya sekiranya dijangkiti, keadaan tidaklah serius sebagaimana mereka yang belum menerima vaksin.

“Jangan takut untuk ambil vaksin kerana pihak berwajib termasuk mufti-mufti telah terangkan dengan jelas mengenai hukum pengambilan vaksin ini,” serunya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF