GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal komited dalam memperkasa agenda kelestarian pada peringkat sekolah menerusi pelaksanaan Program Transformasi Sekolah ke Arah Lestari (TASKAL) 2026 yang terbukti memberi impak positif kepada ekosistem pendidikan negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa antara usaha berterusan yang dilaksanakan termasuk penyediaan ‘seed grant’ kepada sekolah-sekolah yang mencapai penarafan tiga hingga lima bintang bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kelestarian masing-masing.
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan TASKAL sepanjang tahun 2025 amat membanggakan apabila mencatatkan penglibatan 100 peratus sekolah di Pulau Pinang.
“Penglibatan menyeluruh ini mencerminkan kekuatan ekosistem pendidikan negeri yang mampu bergerak secara kolektif, tersusun dan berfokus.
“Inilah kekuatan sebenar Pulau Pinang apabila semua sekolah berkongsi visi yang sama dalam mendidik generasi masa depan dengan nilai kelestarian,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program TASKAL 2026 dan Program TASKAL Pioneer 2026 dekat Pejabat Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) di sini sebentar tadi.



Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Dziauuddin Mat Saad; Penolong Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Hoo Huey Ching; Pengerusi Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW), Khou Jerome dan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid JPNPP, Mohd. Nor Suhaili Jamil.
Kon Yeow turut menegaskan bahawa inisiatif TASKAL merupakan manifestasi kepada Visi Penang2030, khususnya di bawah Tema C: Memperkasa Rakyat dan Tema D: Melabur dalam Persekitaran Fizikal.
“Usaha ini bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah menjadi platform strategik dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang turut memiliki kesedaran kelestarian yang jitu.
“Ini adalah tunjang kepada pembentukan masyarakat progresif, berdaya tahan dan seimbang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa dengan penglibatan 396 sekolah awam di negeri ini, sasaran mencapai kadar kitar semula sebanyak 70 peratus menjelang tahun 2030 adalah realistik.
Tambah beliau, peranan sekolah sebagai institusi penting dalam pembentukan nilai, yang mana amalan kelestarian diterapkan dalam kalangan murid mampu mempengaruhi keluarga dan seterusnya komuniti.
“Ini adalah kuasa sebenar pendidikan sebagai ejen transformasi sosial,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut menyokong pendekatan mentor-mentee menerusi Program TASKAL Pioneer yang dilihat mampu memperkukuh budaya perkongsian ilmu dan pengalaman antara sekolah.
Beliau memberitahu bahawa sekolah yang lebih berpengalaman perlu memainkan peranan membimbing sekolah lain agar kemajuan dapat dicapai secara kolektif.
“Oleh itu, saya menyeru barisan pengetua dan guru besar supaya memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan amalan seperti pengasingan sisa dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.
“Malah, sekolah juga digalakkan memperluas inisiatif seperti pengurangan penggunaan plastik sekali guna, peningkatan kecekapan tenaga dan air, serta pendidikan perubahan iklim selaras dengan aspirasi negeri ke arah pembangunan mampan.
“Paling penting, usaha ini mesti menjadi budaya kerana kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar sebagai pelaburan jangka panjang masa depan negeri,” katanya.
Terdahulu, Kon Yeow turut menyampaikan sijil pelantikan kepada 30 sekolah yang telah dilantik sebagai Sekolah TASKAL Pioneer bagi program TASKAL Pioneer 2026, merangkumi sekolah rendah, sekolah menengah dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.
Sementara itu, Mohamad Dziauuddin memaklumkan bahawa penglibatan sekolah dalam Program PASKAL mencapai 97 peratus pada tahun 2025, sekali gus membuktikan bahawa sekolah-sekolah di Pulau Pinang benar-benar bersedia untuk bergerak ke hadapan dalam agenda kelestarian.
“Sehubungan itu, sasaran JPNPP pada tahun 2026 adalah supaya semua sekolah di negeri ini dapat menjadikan budaya kitar semula sebagai budaya sekolah, dan seterusnya menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencapai 100 peratus semua sekolah membudayakan kitar semula dalam rutin harian sekolah,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN