Kerajaan Negeri luluskan RM10.48 juta biayai kerja penyelenggaraan skim strata di KADUN Paya Terubong

Admin

PAYA TERUBONG – Sejak Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) ditubuhkan sehingga April 2022 sebanyak 50 permohonan telah diluluskan melibatkan amaun kerja sebanyak RM10,489,811.85 bagi kerja-kerja penyelenggaraan di skim perumahan berstrata di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Paya Terubong.

 

 

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, terbaharu, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah meluluskan kerja-kerja menaik taraf tiga unit lif di Blok 4A, 4C dan 4D dekat Lorong Semarak Api Satu, Daerah Timur Laut.

 

 

“Kerja-kerja menaik taraf ini melibatkan kos sebanyak RM513,000 yang mana 80 peratus kos dibiayai oleh Kerajaan Negeri manakala baki 20 peratus menggunakan peruntukan Perbadanan Pengurusan.

 

 

“Sebelum ini, pada tahun 2018, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan permohonan pembaikan lif di Blok 4B dan 4E dengan kos berjumlah RM 190,000.

 

 

“Atas keprihatinan dan aspirasi Kerajaan Negeri dalam terus membantu rakyat, LPNPP telah menerima permohonan untuk pembaikan lif di Blok 4A, 4C dan 4D serta telah mengenal pasti isu ini dan melaksanakan sesi lawatan bagi membuat penilaian di pangsapuri ini,” ujarnya dalam satu sidang media mengenai kerja-kerja menaik taraf lif berkaitan pada 16 Mei 2022.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

 

 

Tambah Jagdeep, secara umum TPM80PP, telah membelanjakan sebanyak RM52.5 juta.

 

 

“Jumlah ini melibatkan 317 permohonan merangkumi 537 kerja telah dilaksanakan yang mana skop kerja yang paling tinggi adalah kerja-kerja menaik taraf dan menggantikan lif iaitu sebanyak 316 kerja diikuti penggantian serta pembaikan tangki air melibatkan 145 kerja,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat.

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN