Kerajaan Negeri pantau rapi bacaan IPU semasa

Admin
53cea486 a31f 4673 96ee 44441675432b

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan memantau rapi keadaan semasa jerebu di negeri ini, terutamanya menjelang program perbarisan sambutan Hari Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Padang Kota Lama pada 31 Ogos ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri akan terus memantau dengan rapi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.

“Kita masih belum membuat sebarang keputusan ketika ini, memandangkan sambutan berkenaan masih ada beberapa hari lagi dari sekarang.

“Semalam, Menteri (Komunikasi) ada memberitahu bahawa sekiranya keadaan bertambah teruk, perarakan (peringkat kebangsaan) akan diadakan di kawasan tertutup.

“Namun, di Pulau Pinang, kita tidak ada kawasan tertutup sedemikian, jadi kalau bacaan IPU melebihi 200, adalah lebih baik ianya tidak diteruskan,” ujarnya dalam sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen.

dd66c8d0 8fe6 45a5 a5ce 44512895970c

Dalam perkembangan berkaitan, Zi Sen menyatakan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) setakat ini tidak merekodkan sebarang peningkatan kes berkaitan pernafasan susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa berhubung dengan JKNPP bagi memantau perkembangan situasi kesihatan awam berikutan keadaan jerebu.

“Walaupun keadaan kesihatan ketika ini masih terkawal, orang ramai dinasihat supaya mengehadkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko terdedah kepada pencemaran udara.

“Buat masa ini, kita belum melihat sebarang peningkatan kes berkaitan pernafasan di negeri Pulau Pinang.

“Orang ramai yang perlu berada di luar dinasihatkan supaya memakai pelitup muka, selain minum air yang mencukupi setiap hari,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat tanda-tanda masalah kesihatan berkaitan pernafasan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penahanan lima individu termasuk seorang pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk yang juga pemimpin parti politik di Pulau Pinang berhubung kes salah guna kuasa pelupusan tanah baru-baru ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kon Yeow menegaskan bahawa ia diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Saya percaya ini dalam bidang kuasa SPRM, dan kita memberi ruang kepada SPRM untuk meneruskan siasatan mereka,” ujarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT